Isnin, 12 September 2011

SEMOGA BERJAYA ADIK-ADIK

 Assalamualaikum semua.

 Selamat menduduki UPSR kepada semua adik-adik yang berkenaan hari ini. Saya mendoakan kejayaan akan sentiasa memihak kepada adik-adik bagi sekali lagi, bukan sahaja sebagai kejayaan peribadi tetapi menyumbang kepada kejayaan Terengganu yang kini sedang memegang rekod keputusan paling cemerlang dalam UPSR peringkat nasional beberapa tahun berturut-turut.

 Alhamdulillah, saya sempat bertemu dengan beberapa adik-adik yang bakal menduduki UPSR ini beberapa hari lalu dan mereka ternyata sangat bersemangat untuk menduduki peperiksaan tersebut. Mereka sangat teruja dan berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan. Itulah kesungguhan yang mereka tunjukkan. Maka tidak hairanlah jika mereka bakal mencapai kejayaan.

 Ibu bapa pula telah memberikan reaksi yang meyakinkan. Mereka puas kerana telah menyediakan pelajaran yang sempurna kepada anak-anak sehinggalah ke hari mereka menduduki UPSR hari ini. Tentu sekali, mereka akan mengiringi anak-anak mereka dengan doa bagi mencapai kejayaan itu. Hakikatnya, situasi itu hanya dapat dirasai oleh ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menduduki UPSR hari ini.

Sebenarnya kita amat bersyukur kerana negara kita masih aman damai, masih membolehkan kita semua selesa menyediakan pembelajaran dan pengajaran kepada anak-anak. Jika hendak dibandingkan beberapa negara di dunia, keamanan adalah sesuatu yang sangat diidamkan. Oleh kerana itu, kita semua harus bersyukur kepada Allah dan berterimalah kepada kerajaan yang ada.

Kerajaan kita, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyediakan pelbagai kemudahan, prasarana dan wang ringgit yang banyak setiap tahun, hanya semata-mata bagi memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna.Inilah kelebihan kita, kelebihan yang tidak ada pada kebanyakan negara di dunia.

Saya berdoa agar anak-anak kita yang menduduki UPSR itu akan berjaya, memperolehi semua A dalam semua mata pelajaran. Saya sangat berbangga kerana kita telah melahirkan sekian ramai anak-anak yang pintar dan berjaya.

Kepada adik-adik, selamat menduduki UPSR dan semoga adik-adik akan memperolehi kejayaan.

Sabtu, 6 Ogos 2011

RAMADAN YANG SEMAKIN PANTAS MENINGGALKAN KITA

 Assalamualaikum.

 Dalam diam, kita sudah memasuki hari ketujuh dalam bulan Ramadan. Alhamdulillah, kita bersyukur dengan apa yang telah kita miliki dan lalui. Selain dengan nikmat Islam yang Allah berikan kepada kita, kita harus bersyukur dengan kehidupan kita yang jauh lebih baik berbanding rakyat di beberapa negara dalam menjalani ibadah puasa.

 Di Malaysia, sebagai sebuah negara Islam yang diiktiraf dunia, kerajaan dan pemimpin masyarakat yang cintakan Islam yang tulin telah mengisi Ramadan ini dengan pelbagai program yang  berfaedah. Rakyat yang memerlukan diberikan bantuan, manakala banyak pihak berlumba-lumba meraikan insan yang kurang bernasib baik. Demikianlah keadaannya di negara kita, Malaysia. 

 Cuba kita bandingkan dengan rakyat di negara-negara lain, misalnya di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, kita jauh lebih baik. Semua ini berlaku bukan kerana semata-mata ia boleh berlaku. Dengan izin Allah, ia berlaku hasil daripada usaha gigih kerajaan dalam membina sebuah negara yang bukan sahaja maju, makmur dan membangun tetapi mempunyai rezeki yang melimpah ruah untuk kita meraihkannya.

 Kita berterima kasih kepada kerajaan negara kita yang kini diterajui YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah berusaha gigih bagi membina sebuah negara yang hebat dan pada masa yang sama kebajikan rakyat terus dipertingkat. Hasil daripada usaha itu, maka lahirlah sebuah negara Malaysia seperti sekarang ini.

 Bagaimanapun agak malang sedikit apabila ada juga di kalangan umat Islam yang bukan sahaja tidak tahu bersyukur, tidak mahu berterima kasih kepada kerajaan tetapi mereka ini tanpa mengira dengan bulan suci Ramadan telah terus menerus menabur fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan. Lebih menyedihkan lagi, mereka itu juga pada masa yang sama telah mengecapi faedah yang telah disediakan kerajaan.

 Oleh itu, saya menyeru kepada umat Islam dan rakyat Malaysia agar tidak terjebak dengan golongan tersebut tetapi lebih matang dan menilai kejayaan Malaysia dalam pelbagai perkara. Kerajaan tidak seperti golongan tertentu yang hanya melihat mereka sahaja yang betul, orang lain salah belaka tetapi kerajaan BN yang kini sedang memerintah Malaysia telah berusaha dengan gigihnya sejak dahulu lagi bagi memastikan kejayaan Malaysia. Hasilnya, semua rakyat telah mendapat faedah daripada usaha itu.

 Ini bukannya retorik tetapi ia adalah satu hakikat yang benar-benar ada di depan kita dan kita semua boleh melihatnya. Oleh itu, marilah kita menjadi rakyat yang bersyukur dan tahu berterima kasih kepada kerajaan di atas segala kejayaan yang telah kita kecapi ini.

 Kepada semua, saya mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa.



Jumaat, 24 Jun 2011

HIMPUNAN BERSIH BERMOTIFKAN POLITIK

 Assalamualaikum.
 Galak benar puak pembangkang untuk menganjurkan apa yang dinamakan sebagai BERSIH 2.0 di ibu negara 9 Julai ini. Bertindak kononnya mahu menuntut pilihan raya yang bersih dan mahu menyerahkan memorandum kepada Seri Padukan Baginda Yang Dipertuan Agong, penganjur sehingga kini dikatakan masih berdegil untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
 Hakikatnya, perhimpunan tersebut jelas bermotifkan politik kerana bukanlah satu etika yang betul untuk  menyerahkan memorandum kepada SPB melalui demonstrasi jalanan dan bukan cara juga mahu membuat tuntutan kononnya pilihan raya kita kotor.
Saya pelik juga, mengapa mereka tidak pernah mendakwa pilihan raya yang diadakan di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah yang menjadi negeri yang mereka kuasai tidak pula mereka anggap kotor sedangkan SPR yang sama yang menguruskan pilihan raya berkenaan. Jelas, mereka hanya melihat kotor apabila sesuatu perkara tidak memihak kepada mereka. Sebaliknya, jika ia menguntungkan mereka, maka bersihlah pilihan raya itu.
 Inilah yang saya katakan politik kartun dalam rimba yang hanya membuat tafsiran sempit mengenai hakikat. Mereka bermain wayang dan politik di sebalik perhimpunan tersebut. Sebagai seorang pemimpin muda, saya menyeru kepada anak-anak muda agar tidak terjebak atau terpedaya dengan agenda jahat mereka ini yang mahu menjahanamkan imej negara di mata dunia. Orang muda kita jangan terheret dengan politik emosi yang merugikan kerana akhirnya, yang rugi ialah kita dan negara kita.

 Cukuplah dengan sekian banyak kaedah memalukan yang dilakukan pembangkang. Mereka mahu menutup kelemahan diri pemimpin mereka dengan menganjurkan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh undang-undang. Kita semua mesti bijak dalam menangani isu ini.. Pembangkang sengaja menangguk di air yang keruh semata-mata. Mereka mempunyai niat dan tujuan yang lain di sebalik apa yang mereka katakan.Itu yang pasti.

 Kita telah membina sebuah negara yang aman damai dan pemimpin BN telah berjaya membina sebuah negara Malaysia yang  cemerlang seperti sekarang. Hakikatnya, bukan senang untuk membina sebuah negara seperti Malaysia tetapi pembangkang yang selama ini berjuang dengan bermodalkan air liur dengan mudah mahu meruntuhkan apa yang ada.

Oleh itu, rakyat harus berfikir dengan bijak. Kita semua, sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan mesti bertegas bahawa kita menolak sebarang cubaan untuk bertindak sehingga ia boleh merugikan negara bertuah ini.

 Sama-samalah kita fikirkannya.

Rabu, 8 Jun 2011

PAS KE ARAH SEKULARISME

Assalamualaikum.

Seperti yang telah dijangkakan, pemilihan pucuk kepimpinan Pas pada muktamar parti itu baru-baru ini dengan jelas telah menunjukkan hilangnya pengaruh golongan ulama. Apatah lagi dengan pemilihan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas, ia semakin nyata seperti yang saya maksudkan. 

 Saya seperti anda semua, yang mengikuti perkembangan politik semasa tanahair sangat bersetuju bahawa apa yang berlaku di dalam Pas sudah menjadikan perjuangan parti itu telah lari dari landasannya. Dan, apabila keputusan tersebut diumumkan, maka sudah tidak lagi kedengaran suara untuk menegakkan negara Islam atau melaksanakan undang-undang Islam sepertimana selalu pemimpin Pas laungkan.

 Sama ada keadaan tersebut berlaku disebabkan perubahan dalam pucuk kepimpinan atau pun mungkin kerana mahu menjaga hati DAP, Pas terpaksa mengorbankan perjuangan yang dimaksudkan demi mencapai cita-cita politik mereka.
 Sama seperti Pas tergamak mengubah hukum dalam sesuatu isu, maka mereka juga melafazkan fatwa bagi menghalalkan perubahan ketara di dalam Pas. Sebagai contoh, dulu Pas menuduh UMNO kafir kerana berkawan dengan bukan Islam (MCA dan MIC) tetapi apabila Pas berkawan dengan DAP (yang terang-terang menentang penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang hudud Pas), maka hukum yang dulunya diharamkan Pas telah bertukar menjadi halal.

 Hal ini jelas berlaku di depan mata umat Islam walaupun sebahagian besar daripada umat Islam masih belum sedar mengenai propaganda dan dakyah Pas. Hari ini, orang percaya kepada Pas kerana kononnya perjuangan Islamnya. Orang melihat Pas lebih Islam dengan imej yang dibawa.

 Hal itu berlaku pada pandangan saya disebabkan, umat Islam terlalu ghairah mahukan agama sehingga mereka terpedaya dengan dakyah yang disebarkan oleh Pas kononnya hanya mereka sahajalah yang memperjuangkan Islam. Demikianlah mudahnya sebahagian daripada umat Islam diperbodohkan oleh Pas.

 Hari iini, sejak berkawan dengan DAP, bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan Pas. Muktamar mereka baru-baru ini telah memberikan mesej tersebut dan apa yang saya maksudkan telah pun diperkatakan oleh banyak orang. Cuma saya tersenyum sinis dengan komen Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya UMNO takut dengan pemilihan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden parti itu.

 Mat Sabu bukanlah tokoh yang hebat, dia hanya boleh memakai kupiah dan menghafaz beberapa ayat Al Quran dalam ceramahnya untuk menghentam UMNO seolah-olah ayat-ayat suci itu diturunkan hanya untuk menghentam UMNO. Rakyat tidak lupa akhlak Mat Sabu dan dengan siapa dia pernah ditangkap khalwat. Itu sejarah yang masih berlegar-legar dan tidak mungkin dilupakan rakyat.

 Saya tidak terkilan apabila Nik Aziz boleh mempertahankan Mat Sabu kerana Mat Sabu adalah ayam Nik Aziz yang kita semua tahu. Namun, jika Nik Aziz boleh mempertahankan Anwar Ibrahim dalam isu video seksnya dengan perempuan Cina, jadi apalah sangat kalau mereka mahu mempertahankan Mat Sabu. Ia bukan satu hal yang susah untuk dilihat. 

 Saya boleh menggambarkan apakah yang bakal menimpa Pas selepas ini tetapi biarlah itu saya pendamkan kerana kita tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku. Saya sangat percaya bahawa rakyat tidak sebodoh yang Pas sangkakan dan kerana itu, mereka akan menyampaikan mesej tersebut kepada parti pembangkang itu pada pilihan raya umum nanti.

 Saya sangat percaya akannya.

Selasa, 24 Mei 2011

TIDAK MAHU BUBAR DUN: PAKATAN TAKUT BAYANG-BAYANG

 Assalamualaikum.

 Tiba-tiba Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng mengumumkan parti itu mengambil pendirian bahawa semua negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor  tidak akan membubarkan DUN masing-masing jika Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen. Ia sekaligus berbeza dengan amalan tradisi sebelum ini dimana semua DUN dibubarkan sebaik Parlimen dibubarkan.

 Walaupun saya sendiri tidak terkejut dengan kenyataan serta pendirian tersebut, namun ia agak menarik untuk diulas sebagai bahan berfikir untuk kita semua. Tidak sukar untuk memahami sifir politik pembangkang ini apabila mereka mengambil pendekatan atau keputusan sedemikian.

 Pertama, jika bukan kerana takut atau tidak yakin akan mempertahankan kekuasaan di negeri berkenaan, mereka pasti tidak akan memutuskan sedemikian. Sudah tentu mereka mulai faham betapa sekarang rakyat semakin sedar dengan permainan politik murahan yang diamalkan kerajaan pembangkang. Malah, saya percaya bahawa mereka sedar ketidakupayaan untuk menunaikan segala janji yang ditaburkan pada Pilihan Raya Umum lalu telah menjadi antara penyebab utama mengapa mereka itu takut.

 Kedua, jika diambil dari sudut iklim politik semasa, dengan isu-isu yang berlaku sekarang, sudah tentu kita melihat ia banyak memihak kepada pembangkang. Bagaimanapun mereka masih tidak berani membubarkan DUN?. Mengapa?. Percayalah bahawa mereka melakukan sedemikian kerana mereka juga melakuakn kaji selidik mengenai sikap atau pendirian politik mereka. Dan, apabila mereka memutuskan untuk tidak membubarkan DUN, ia sudah tentu bersebab.

 Ketiga, ia hanyalah satu strategi untuk memerangkap BN. Ia dilihat sebagai usaha mencetuskan provokasi terhadap BN agar lebih berhati-hati dan tidak mudah diadakan pilihan raya. Apa yang saya maksudkan, walaupun banyak perkara dilihat makin memihak kepada pembangkang, hakikatnya mereka masih belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Percayalah.

 Apa pun, sebagai rakyat yang bijak, anda nilailah sendiri pendirian pembangkang yang selama ini bermati-matian kononnya memperjuangkan kebebasan dan demokrasi. Inilah watak yang cuba ditunjukkan kepada rakyat betapa mereka sebenarnya masih belum puas dengan kuasa yang mereka ada di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

 Lihat, apa yang diputuskan tidak sama dengan mood yang mereka canangkan kepada rakyat seolah-olah pilihan raya akan diadakan di esok hari. Rakyat tidak usah terperangkap atau terpedaya dengan mereka. Saya percaya, semua ini adalah permainan politik pembangkang semata-mata. Tidak lebih dari itu.

 BN adalah parti yang mendokong sistem demokrasi  dan BN adalah parti yang mempercayai keluluhan perlembagaan dan kerana itu, setiap perkara yang dilaksanakan mestilah berteraskan kepada perkara tersebut walaupun ia tidak digemari atau tidak disukai oleh sesetengah pihak.

 Saya berharap, rakyat akan lebih bijak menilai mengenai perkara tersebut. Ingatlah, menukar sesebuah kerajaan bukan semudah kita menukar pakaian. Berhati-hatilah, buatlah keputusan yang bijak dengan terus bersama BN.

UMNO PARTI RAKYAT

 Assalamualaikum.

 Semua orang kini bercakap soal pilihan raya umum yang katanya akan diadakan pada bila-bila masa atau selewat-lewatnya awal tahun depan. Itu andaiannyalah. Namun hakikat sebenar tarikh tersebut tidaklah diketahui kerana ia adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. 

 Dalam konteks UMNO, khususnya Pemuda Terengganu, apakah ertinya cakap-cakap politik mengenai pilihan raya ini. Saya berpendapat, kita tidak boleh terbuai dengan cakap-cakap sedemikian sehingga kita lupa mengenai tanggungjawab kita untuk memperkukuhkan parti dalam maksud membuat persediaan sewajarnya menjelang pilihan raya itu.

 Apa yang dikehendaki pucuk kepimpinan parti agar semua pemimpin UMNO mesti turun padang, mendekati rakyat mestilah diterjemahkan dan dibuktikan. Mungkin terdapat salah faham mengenai gesaan tersebut sehingga ramai yang melihat bahawa tanggungjawab  untuk turun padang hanya terletak ke atas bahu pemimpin atasan sahaja.

 Bagi saya, setiap daripada kita yang memegang jawatan dalam parti sehingga di peringkat cawangan juga adalah pemimpin. Maka tanggungjawab yang dipikul adalah sama.

 Pun begitu, saya sangat berpuas hati dengan usaha dan pendekatan berterusan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri dalam memastikan program turun padang ini sentiasa dilaksanakan. Bagi kami, suara rakyat adalah satu keutamaan yang mesti diberikan perhatian dan pembelaan. Oleh kerana itu, saya sentiasa meminta dan bersama dengan pemimpin pemuda pun untuk sama-sama turun padang bertemu rakyat dan mendengar suara serta rintihan mereka.

 UMNO adalah parti penyelesai masalah rakyat. Itulah yang sentiasa saya berikan perhatian dalam menggerakan setiap program kemasyarakatan di Terengganu. Alhamdulillah, saya percaya bahawa rakyat semakin melihat peranan serta sumbangan UMNO dalam membina nasib mereka. 

 Kejayaan UMNO untuk muncul sebagai satu-satunya parti yang sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh disangkal atau dinafikan oleh sesiapa pun. UMNO itu sentiasa adalah parti rakyat yang ditubuhkan demi rakyat dan tanahair tercinta.

 Saya berharap, menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan nanti, rakyat akan terus memilih UMNO/BN sebagai parti pilihan mereka. Saya sangat yakin, rakyat di negeri ini, di negara ini tidak akan mudah terpedaya atau diperbodohkan oleh pembangkang.

Ahad, 22 Mei 2011

BELI UTUSAN, TANDA SOKONGAN

 Assalamualaikum.

 Saya sungguh tertarik dengan penyerahan memorandum sakongan PERKASA dan Pergerakan Pemuda UMNO kepada Utusan di ibu negara baru-baru ini. Walaupun bagi sesetengah orang walaupun isu tersebut tidaklah sebesar mana, namun ia tidak begitu bagi saya.

 Sebagai seorang pembaca dan pelanggan tetap akhbar Melayu itu, saya sebenarnya sangat bangga dengan Utusan yang menjadi satu-satunya akhbar Melayu yang berani dalam melaporkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.

 Saya berpendangan, Utusan bukan hanya sebagai sebuah akhbar Melayu semata-mata, malah telah menjadi sebahagian daripada institusi Melayu itu sendiri yang peranannya telah terbukti melalui sejarah perjuangan Utusan termasuk ketika menuntut kemerdekaan. Demikianlah hebatnya Utusan dalam perjuangan Melayu di negara ini.

 Saya pelik apabila ada sahaja pihak yang menunding jari kepada Utusan kononnya ia adalah akhbar rasis atau perkauman sedangkan perjuangan Utusan sejak dahulu sangatlah jelas dan tidak pernah berubah. Lebih pelik apabila  ada akhbar yang baru sekarang bersikap rasis, tetapi tidak pula kedengaran tentangan dibuat ke atas akhbar berkenaan. Akhbar lain seolah-olah bebas dengan laporang mereka tetapi apabila akhbar Melayu yang menjadi tuan kepada tanah tumpah darahnya melaporkan mengenai isu-isu untuk mempertahankan Islam dan Melayu, ada pula yang melatah.

 Saya sangat percaya, cubaan untuk menjahanamkan nama baik dan reputasi Utusan disebabkan kekhuatiran pihak tertentu terhadap pendedahan serta peranan Utusan sendiri dalam memberikan kesedaran kepada rakyat. Golongan itu mula nampak, Utusan tidak boleh dibiarkan dengan keadaan tersebut kerana ia sudah pasti mengancam kepentingan serta cita-cita mereka.

 Hakikatnya, saya mempertahankan Utusan bukan kerana saya Ketua Pemuda UMNO Terengganu, malah ketika saya di bangku sekolah pun, Utusan telah menjadi sebahagian daripada bacan bacaan saya. Utusan adalah suara rakyat dan menjadi akhbar yang sangat berani sebenarnya. Jujurnya, Utusan juga akan mendedahkan, menegur dan membelasah pemimpin UMNO yang terlibat dengan isu-isu yang merugikan Melayu. Di sini hebatnya Utusan berbanding akhbar-akhbar lain.
 Apa yang penting bagi saya, rakyat perlu menyokong Utusan sebagai sebuah akhbar yang berteraskan kepada institusi Melayu. Sokongan itu pula tidak seharusnya kekal hanya menyampaikan memorandum semata-mata kerana saya berpandangan, sokongan mestilah dizahirkan melalui pembelian atau langganan akhbar ini.

 Selain secara individu, orang kaya Melayu perlu menyokong usaha Utusan melalui tajaan dan sebagainya bagi membolehkan akhbar ini dilihat benar-benar disokong dan dipertahankan.

 Saya menyeru seluruh ahli UMNO, khususnya Pergerakan Pemuda agar membeli dan membaca Utusan atau melanggannya. Kaedah itu sebenarnya jauh lebih berkesan dalam menyatakan sokongan kepada Utusan.

 Saya bukanlah juru kempen Utusan tetapi saya melihat Utusan sebagai sebuah institusi Melayu yang wajib dipertahankan demi masa depan bangsa kita di tanahair bertuah ini. 

 Hidup Utusan!

Khamis, 19 Mei 2011

MOMENTUM BARU POLITIK UMNO TERENGGANU

 Assalamualaikum.

 Alhamdulillah, walaupun dalam kesibukan dapat juga saya update blog saya ini. Tentu sekali sekarang ini ahli-ahli UMNO sedang sibuk dengan persidangan parti yang telah menjadi sebahagian daripada tuntutan dalam perlembagaan parti.

 Apa yang saya lihat melalui proses persidangan yang berlangsung setakat ini, sama ada di peringkat sayap dan bahagian, rata-rata ahli parti sangat bersemangat sekali. Jelas sekali, mereka sedang berada dalam mood pilihan raya umum yang tarikhnya masih menjadi teka-teki semua pihak.

 Inilah yang saya lihat sebagai satu kejayaan awal kita sebelum berhadapan dengan pilihan raya akan datang. Mutu pembahas yang mengambil bahagian dalam perbahasan juga semakin berubah dan sudah ramai yang berkebolehan sebagai pidato yang handal. Saya cadangkan mereka ini diberikan pendedahan sebagai penceramah BN dalam pilihan raya umum anti.
 Sebenarnya, inilah yang kita perlukan. Momentum politik UMNO> Setelah politik UMNO Terengganu khususnya dilihat agak dingin dengan isu-isu politik nasional, namun sekarang keadaan itu semakin kelihatan. Maksud saya ialah, kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO telah bersatu dan membentuk satu pasukan politik yang mantap bagi berhadapan pilihan raya umum akan datang.

 Ini adalah satu realiti politik kita yang wajar kita akui. Saya sendiri melihat bahawa kita bukan lagi berada di fasa yang boleh melemahkan parti dan keadaan itu sedia difahami oleh kita semua. Hari ini kita berada di dalam fasa untuk memperkukuhkan parti dan menjana kekuatan semampu mungkin bagi berhadapan dengan pilihan raya umum.

 UMNO Terengganu khususnya semakin bersatu dan sudah tentu semakin kuat sekarang. Keadaan ini telah mengundang rasa cemburu dan takut kepada parti pembangkang kerana mereka menyangka UMNO masih lemah sehingga boleh memberikan laluan kepada mereka untuk kembali berkuasa di Terengganu. Itu tidak mungkin.
 Berikutan keadaan itulah, pembangkang kita nampak mula gusar dan memberikan perhatian terhadap negeri ini. Jelas sekali sangkaan dan andaian mereka mengenai UMNO sangat meleset sama sekali. Oleh kerana itulah, mereka kini membawa penceramah luar bagi membangkitkan semangat orang Terengganu kerana mereka sedar bahawa UMNO Terengganu semakin kuat.

 Saya amat optimis bahawa kita akan mampu mencapai kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum akan datang jika kita meningkatkan keupayaan atau kemampuan yang ada. Kita sudah mula menampakkan momentum politik kita tetapi pada masa yang sama, masih terhadap hal-hal yang boleh membantu kekuatan parti untuk diberikan perhatian.

 Saya percaya, rakyat masih memerlukan BN kerana rakyat Terengganu sendiri pernah tertipu oleh PAS yang memerintah negeri itu sejak 1999 hingga 2004 yang lalu. 

 Semoga kita akan terus melakar kejayaan.

Isnin, 9 Mei 2011

JANGAN BERMAIN API

 Assalamualaikum.

 Bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi isu-isu sensetif yang melibatkan agama dan bangsa kini bagaikan sudah menjadi trend dalam arena politik negara. Sebagai pemimpin muda, saya melihat senario ini secara serius betapa ia sebenarnya tidak sihat untuk masa depan politik dan kestabilan negara.

 Hakikatnya, bukan mudah untuk mempertahankan keharmonian penduduk yang berbilang kaum di Malaysia. Namun saya hairan mengapa masih ada pihak yang tidak pernah belajar daripada sejarah, sehingga mereka tergamak bertindak melakukan provokasi dalam isu-isu yang bersifat perkauman.

 Saya lebih cenderung untuk mengajak rakyat agar menilai semula pemimpin dan parti politik yang sengaja bermain dengan isu agama dan bangsa ini demi untuk mencapai cita-cita sempit mereka.

 Kita tidak tahu di mana silap dan lemahnya sehingga perkara sedemikian kini semakin berleluasa. Selain isu kalimah Allah sebelum ini sehinggalah apa yang disebut percubaan pihak tertentu untuk menjadi Kristian sebagai agama rasmi di negara kita. Jika benar isu terbaharu, ia sudah tentu menjadi satu perkara yang sangat malang bagi kita semua.
 Saya berpendapat, kerajaan mesti perlu lebih tegas bertindak dalam membendung gejala ini jika tidak mahu ia menjadi punca kepada masalah yang lebih besar. Tragedi 13 Mei adalah sejarah hitam yang harus kita ingat sebagai panduan agar isu-isu sensetif ini tidak dijadikan umpan untuk memancing sokongan politik.

 Walaupun kita percaya bahawa rakyat kian bijak dalam menangani apa yang berlaku, jika kerajaan lewat bertindak, ia memungkin mendedahkan kita kepada mala petaka.

 Sudah sampai masanya, kerajaan bertindak bagi mengekang perkara sedemikian. Tanpa memilih siapa mereka, jika mereka terbukti dan berasas untuk dikaitkan dengan gerakan yang boleh menyemarakkan api perkauman, tindakan mesti diambil.

 Kita tidak boleh melihat isu-isu kaum dari perspektif politik semata-mata tetapi pada masa yang sama memiggirkan hal-hal lain. Saya faham, dalam keadaan sekarang, semua parti mahu menjadi juara kepada bangsa mereka. Bagaimanapun cubaan untuk mempertikaikan apa yang telah dipersetujui melalui kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan, ia adalah sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali.

 Saya menyeru kepada rakyat, agar mereka tidak mudah terjebak. Marilah kita melihat isu-isu yang dimainkan pihak tertentu ini secara bertanggungjawab. Rakyat mesti menolak golongan pelampau, parti yang berfikiran sempit dan pemimpin yang meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat.

 Kita mesti mempelihara keamanan dan kesejahteraan sedia ada. Kita yang bangga sebagai rakyat Malaysia harus membuktikannya.

Selasa, 3 Mei 2011

UMMI VS ANWAR DI KUALA TERENGGANU ESOK

 Assalamualaikum.

 Peristiwa yang pasti panas. Khabarnya, adik Timbalan Presiden PKR (Azmin Ali), iaitu Ummi Hafilda Ali akan berceramah di Kuala Terengganu esok (6 Mei). Mengapa saya katakan peristiwa panas?. Sebabnya pada tarikh yang sama, Ketua Pembangkang yang kini sedang berhadapan dengan isu skandal video seks yang dikaitkan dengannya akan turut berceramah di Kuala Terengganu.

 Nampaknya, Ummi mengekori ke mana sahaja Anwar yang menjadi musuhnya pergi. Khabarnya, ceramah Ummi Hafilda sebelum ini telah mendapat sambutang yang amat menggalakkan kerana rakyat ingin tahu apa sebenarnya berlaku.

 Saya melihat, tindakan Ummi Hafilda yang "mengekori" ke mana sahaja Anwar berceramah telah memberikan satu tekanan kepada beliau. Sebelum ini, kedua-duanya berceramah di Kota Bharu, Kelantan.

 Anwar sedang berhadapan dengan krisis imej dan moralnya. Walaupun pembangkang menggunakan pelbagai propaganda murahan untuk menafikan penglibatan Anwar dalam skandal video seks yang kini telah tersebar luas, namun sebahagian besar rakyat yang berfikiran waras telah pun membuat pertimbangan mereka.

 Apatah lagi dengan kedatangan Ummi Hafilda untuk membuat pendedahan mengenai Anwar yang digelar sebagai "Anugerah Tuhan" oleh isterinya sendiri sudah tentu akan memanaskan lagi iklim politik negara pada masa ini.

 Saya percaya, Ummi sudah tentu "membawa sesuatu" dalam setiap ceramahnya dan sepengetahuan saya, ucapan Ummi akan diselangi dengan hujjah-hujjah yang meyakinkan termasuk bersumpah dengan nama Allah terhadap setiap dakwaan yang telah dibuat.

 meski pun, isu sumpah itu dipropagandakan sebagai tidak sah dan tidak selari dengan Islam, hakikatnya rakyat menilai siapa yang berani bersumpah dengan nama Allah adalah mereka yang benar. Anwar takut bersumpah dengan pelbagai alasan.

 Marilah kita datang beramai-ramai mendengar pendedahan Ummi Hafilda malam esok di Kampung Tanjung (Belakang Astaka).

Selasa, 26 April 2011

KUNJUNGAN PM BAWA MOMENTUM POLITIK

 Assalamualaikum.

 Apa khabar anda semua hari ini. Semoga kita semua akan sama-sama meneruskan perjuangan membangunkan negeri, negara dan memperkasakan kepentingan rakyat, manakala setiap kemungkaran pembangkang perlu kita perangi.

 Hari ini, saya ingin mencatatkan sesuatu mengenai kunjungan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Terengganu Sabtu ini (30 April). Sudah tentu, jika ditanya sesiapa pun, kunjungan ini dianggap menarik dan penting, apatah lagi dengan gambaran politik yang pelbagai diberikan ke atas Terengganu, sama ada ooleh orang Terengganu sendiri atau pun yang tinggal di luar Terengganu.

 Tidak perlulah saya mencatatkan sejarah politik Terengganu, namun apa yang pasti kunjung Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan memberi momentum baharu kepada UMNO, BN dan rakyat Terengganu keseluruhannya - ia sekaligus menjadikan angan-angan pembangkang untuk melihat perpecahan UMNO di negeri ini tidak menjadi kenyataan.

 Pembangkang silap kerana telah membuat sangkaan dari luar kononnya UMNO Terengganu lemah dengan mengambil kira plot politik yang berlaku sebelum ini. Apa pun, kehadiran Datuk Seri Mohd Najib nantinya akan memberikan gambaran yang jelas kepada rakyat betapa sebenarnya UMNO masih kuat dan utuh, masih berada dengan kuat di hati rakyat.

 Saya fikir, Perdana Menteri akan melihat sendiri sokongan dan dokongan rakyat Terengganu terhadap UMNO selama ini bahawa mereka masih bersatu, masih kuat dan mahu melihat BN/UMNO terus menguasai bumi Terengganu.

 Rata-rata bagi pihak rakyat, mereka sudah tidak sabar-sabar menerima kunjungan Perdana Menteri kesayangan mereka. Datuk Seri Najib pasti akan mengembalikan nostalgia kegemilangan Allahyarhjam bapanya, Tun Abdul Razak Hussin yang semasa hayatnya pernah turun padang dan berkunjung ke Kuala Nerus yang turut menjadi tempat lawatan Datuk Seri Najib.

 Rakyat Terengganu tahu, Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat, yang memahamo denyut nadi rakyat dan menjadi seorang pemimpin yang sentiasa turun padang. Itulah kelebihan Perdana Menteri kita.

 Justeru, kunjungan beliau ke Terengganu akan disambut dengan meriah oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai latar belakang politik. Saya melihat, lawatan ini akan menambahkan lagi kekuatan BN dan UMNO di Terengganu. Amanat Datuk Seri Najib nanti sudah tentu akan menjurus kepada hal tersebut dan masa depan Terengganu itu sendiri.

 Percayalah, Terengganu akan terus kekal sebagai benteng UMNO/BN dan sejarah sebenarnya telah membuktikan akan hal tersebut.

Jumaat, 22 April 2011

MEMPERKASAKAN SOKONGAN ORANG MUDA

 

Assalamualaikum dan salam perjuangan.

Demam pilihan raya kian terasa. Di mana-mana pun orang bercakap mengenainya. Walaupun tarikh sebenar PRU itu hanya ada di tangan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, namun selalunya ada tanda-tanda apabila ia akan berlaku.

Kerana mempercayai bahawa wujudnya tanda-tanda PRU akan diadakan lebih awal, maka berlakulah apa yang kita lihat hari ini. Senarionya seolah-olah PRU akan diadakan esok hari. Memang, dari satu sudut, ia sangat bagus untuk sesebuah parti politik - sekurang-kurangnya mereka melakukan persediaan yang terbaik untuk memenangi sesuatu pilihan raya. Bagaimanapun, negatifnya apabila senario itu telah menyebabkan kita kehabisan banyak masa untuk politik dan berpolitik sedangkan ia lebih wajar digunakan untuk hal-hal lain demi masa depan negara dan kita semua.

Ketepikan soal itu sementara. Saya ingin melontarkan betapa sebenarnya peranan masyarakat pemuda dalam parti sangat penting dalam PRU ke-13 nanti. Menyedari hakikat itulah, Pemuda UMNO khususnya di Terengganu telah pun bergerak mengikut kaedah dan strategi yang dirancang. Saya percaya, walaupun dilihat sukar, namun usaha mendekati golongan muda ini tidaklah sesulit mana.

 Bagi Pemuda UMNO Terengganu, kita sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU, sama ada ia mempunyai tanda-tanda akan ada lebih dekat atau sebaliknya. Sebabnya, politik UMNO berbeza sama sekali dengan pembangkang. Kita adalah parti yang berteraskan kepada menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. UMNO bukan sebuah parti yang retorik yang bercakap atau berjuang dengan bermodalkan air liur. Kita bercakap berasaskan kepada kemampuan dan keupayaan.

 Ada pun pembangkang pula, politik mereka hanyalah untuk mencari salah UMNO/BN tanpa memberi fokus kepada usaha membantu rakyat dan memajukan negeri atau negara. Itulah yang membezakan UMNo dan pembangkang.

 Apa yang saya maksudkan, usaha membantu rakyat, mendekati golongan muda dengan kaedah tertentu sentiasa diadakan tanpa ragu. Kita mementingkan rakyat melalui politik kita.

 Oleh itu, Pemuda UMNO Terengganu akan terus bergerak dengan lebih gigih, kita akan menyusun strategi yang lebih mampan untuk memantapkan jentera kita. Hari ini, sudah ada petanda perubahan di kalangan generasi muda untuk mendekati UMNO.

 Saya amat optimis bahawa anak-anak muda sememangnya lebih selesa dengan UMNO berbanding pembangkang. Ini dapat dilihat melalui aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan. Mereka adalah kelebihan untuk kita dan kerana itu, perjuangan untuk mendekati mereka tidak akan pernah ada nokhtahnya.

Ahad, 17 April 2011

PRN SARAWAK: SATU MOMENTUM KEPADA POLITIK MALAYSIA.

 Assalamualaikum.

 Tahniah diucapan kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak atas kemenangannya pada PRN yang diumumkan semalam. Walaupun BN hilang 6 kerusi berbanding yang dimenanginya pada PRN 2006,  namun kejayaannya membentuk kerajaan dalam iklim politik yang dianggap tidak menentu, tetap menjadi satu kelebihan.

 Rata-rata, perang psikologi yang dimainkan pembangkang menggambarkan seolah-olah akan berlaku tsunami politik di Sarawak, namun keputusan yang diumumkan semalam telah menjawab segala-galanya. Ironinya, BN kalah di kawasan pengundi Cina. Jelas sekali, pengundi Cina tidak memihak kepada BN dan kita semua sudah sedia maklum akan sebab musababnya.

 Biarlah, walaupun kita sedikit terkilan, namun itu yang mereka pilih, maka kita harus menghormatinya. Sebagai seorang pemimpin parti Melayu UMNO, saya melihat dengan jelas apa yang dilakukan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO untuk pengundi Cina. Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, mereka memilih untuk tidak memihak kepada BN.

 Apa pun, di banyak kawasan, majoriti undi BN terus melonjak dengan sangat meyakinkan. Itulah kebanggaan saya.

 Jika ditanta saya, saya berpandangan PRN Sarawak telah sangat menguji BN - seperti apa yang telah saya catatkan sebelum ini. Ada isu-isu yang jika tidak diurus dengan baik, ia akan menggugat BN di Sarawak. Hakikatnya, satu kajian secara terperinci harus dilakukan bagi mengetahui mengenai kekalahan BN di kawasan tertentu. Hasil kajian itu pula mestilah dilaksanakan oleh pemimpin BN negeri bagi memastikan rakyat kembali memberikan sokongan padu kepada BN.

 Saya lebih cenderung untuk melihat, kejayaan di Sarawak dapat memberikan momentum kepada politik di Semenanjung. Ertinya, politik Sarawak yang terkenal dengan sentimen kegenerian atau cara berpolitik yang berbeza dengan sememanjung tidak boleh dilihat begitu lagi. Ternyata, landskap politik Sarawak mampu memberikan impak kepada politik di Semenjung.

 Inilah yang harus difahami oleh jentera parti dan ahli parti. Mengapa pentingnya BN menang selesa di Sarawak tatkala BN diserang dari segenap sudut oleh pembangkang. Pembangkang berada pada posisi sanggu melakukan apa sahaja demi menjatuhkan BN, sedangkan di pihak BN, kita ada cara tersendiri dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.

 Saya melihat dalam satu bayangan betapa politik Sarawak akan segera berubah. Berubah bukan sahaja dalam konteks pembangunan negeri, tetapi juga dalam prospek lain untuk faedah rakyat di negeri itu.

 Apa pun, BN harus melihat atau meneliti dengan serius mengenai isu-isu yang dibangkitkan di Sarawak. Keberanian BN mengubah dan berubah, ia akan menjamin nilai moral politik yang impaknya sangat besar dalam memastikan BN terus menjadi peneraju kerajaan negeri Sarawak pada masa akan datang.

Jumaat, 15 April 2011

RENUNGI KATA-KATA PM MENGENAI ANWAR

 Salam Perjuangan!,

 Menarik juga apa yang disebut Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, DS Mohd Najib Tun Razak ketika berucap di Sarawak siang tadi (Jumaat) mengenai pembohong bersiri, Anwar Ibrahim yang sekarang ini sedang menabur ribuan janji, menggula-gulakan rakyat Sarawak demi memastikan rakyat tertipu dengan helah mereka.

 DS Najib berkata, sepanjang Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan satu masa dahulu, apakah yang dia buat untuk Sarawak. Persoalan itu sangat menarik apabila ia dilontarkan sekarang kerana Anwar sejak dua menjak ini berlagak seolah-olah dialah seorang pejuang rakyat. 

 Sekarang Anwar tidak mempunyai kuasa, dia tidak akan mampu melakukan apa-apa untuk Sarawak selain untuk memuaskan nafsu politiknya sahaja. Jika ketika kuasa sudah di tangannya dulu, Anwar tidak melakukan apa-apa yang patut untuk Sarawak, apatah lagi ketika dia tidak berkuasa, apakah yang mampu Anwar lakukan?.

 Tergamam juga saya dengan persoalan yang dilontarkan DS Najib itu tadi. Betul juga kata ati saya. Dan, kalaulah pengundi atau rakyat Sarawak bijak, mereka pasti akan dapat membuat penilaian terbaik dalam PRN yang akan berlangsung esok.

 Sebenarnya sangat memalukan apabila seorang yang telah hilang kuasa, tiada kuasa, tiba-tiba datang melalak menjanjikan itu dan ini kepada rakyat. Mereka mahu apa sebenarnya?. Rakyat harus faham bahawa mereka telah melihat sekian banyak kebenaran yang muncul tanpa dirancang mengenai tipu muslihat Anwar dan pembangkang. Rakyat harus menerima hakikat bahawa pembangkang yang diketuai Anwar wajib ditolak kerana mereka tidak layak, tiada kemampuan dan keupayaan untuk mentadbir negeri, apatah lagi negara.

 Saya bukan mahu memperkelehkan sesiapa, tetapi saya mencatatkan ini kerana fakta dan hakikat. Sama ada kita suka atau tidak, hakikat ini tidak mungkin dapat diubah. 

 Kepada rakyat, fahamilah bahawa kita telah kerugian banyak waktu, banyak pembangunan, banyak perhatian dan banyak wang hanya semata-mata untuk melayan politik murahan pembangkang. Cukuplah dengan apa yang telah kita lalui.

 Saya benar-benar berharap, rakyat akan lebih faham akan keadaan tersebut, berfikir dan merenung apa yang dibangkitkan DS Najib mengenai Anwar yang bercita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri. Jujurnya, saya telah melihat perasaan rakyat, mereka semakin sedar dan semakin dekat dengan kebenaran yang sebenar.

 Saya sangat yakin dan optimis, rakyat kita tidak mungkin akan dapat selama-lamanya ditipu oleh Anwar dan kuncu-kuncunya dalam pembangkang. Dan kesedaran rakyat inilah yang menakutkan Anwar, terutamanya pada PRN Sarawak. 

Khamis, 14 April 2011

ANWAR OH ANWAR ... PEMBOHONG BERSIRI

 Assalamualaikum dan salam perjuangan.

 Dalam Anwar Ibrahim begitu galak berkempen dan menabur janji politik kosong di Bumi Kenyalang, sebagai satu kesinambungan dalam siri pembohongannya kepada rakyat, seorang lagi bekas orang kuatnya membuat pendedahan mengenai perangai serta sikap Ketua Pembangkang itu.

 Raja Petra Kamaruddin yang sebelum ini merupakan seorang bloger yang anti PM dan BN, kini tampil dengan pelbagai pengakuan serta pendedahan yang mengejutkan. RPK yang kini berada di luar negara telah mendedahkan banyak perkara yang harus dinilai dengan adil oleh rakyat.

 Bagaimanapun agak malang sedikit apabila masih ramai di kalangan penyokong pakatan pembangkang yang tidak mahu menerima kenyataan tersebut. Jauh daripada itu, mereka mahu berlagak seolah-olah mereka orang paling rapat dengan Anwar dan tahu luar dan dalam mengenai Anwar. Harus diingat bahawa pendedahan yang dibuat oleh RPK dan sekian ramai yang tampil sebelum ini termasuk bekas peguan Anwar sendiri, adalah orang-orang yang sangat rapat dengan Anwar. Kalau mereka ini telah lari dari Anwar, siapalah pencacai Pas, DAP dan PKR yang mahu mempertahankan Anwar. Cukuplah.

 Walaupun saya tidak terkejut langsung dengan pendedahan RPK, namun saya terkilan dengan sikap segelintir rakyat kita yang masih tergamak merelakan dirinya diperbodohkan oleh Anwar. Jelas sekali bahawa Anwarlah bapak konspirator yang mencaturkan politik kotor bagi menutup kesemua salah lakunya. 

 Hari ini, polis telah pun memberikan penjelasan bahawa berdasarkan bukti-bukti yang kukuh, lelaki yang dikaitkan sebagai Anwar dalam video seks yang tersebut sebelum ini telah pun dikenalpasti. Keadaan ini pasti telah menambah beban di otak Anwar untuk menangkis kebenaran. Percayalah, tiada kebenaran yang boleh ditangkis dengan mudah. Kebenaran adalah kebenaran. ia bersifat hakiki dan tidak boleh diubah walaupun satu titik atau sesaat. Itulah peristiwa yang sedang dilalui oleh Anwar.

 Walaupun masih ada yang tergamak menjadi manusia yang boleh diperbodohkan, saya sangat yakin dan percaya bahawa masih ramai rakyat yang waras dan dapat melihat serta menilai sendiri sandiwara politik Anwar Ibrahim ini. Rakyat sedang menunggu masa untuk memberikan mesej mereka kepada Anwar dan geng mereka dalam pakatan pembangkang.

 Saya berdoa, semoga kebenaran yang telah semakin tersebar dan terserlah ini akan diterima oleh rakyat sebagai satu bukti betapa inilah masanya untuk mereka menolak pembangkang.

Isnin, 11 April 2011

UMNO TETAP DI HATI RAKYAT

 Assalamualaikum dan salam perjuangan.

 Walaupun fokus banyak pihak kepada isu-isu politik nasional, selain PRN Sarawak dan lain-lainnya, mungkin ramai yang kurang berikan perhatian terhadap mesyuarat cawangan UMNO yang sedang berlangsung sekarang. Alhamdulillah, walaupun agak sibuk sedikit dengan mesyuarat Pemuda, saya banyak mempelajari sesuatu di atas perkembangan tersebut.

 Jujurnya, saya gembira melihat kematangan berpolitik di kalangan ahli parti, khususnya pemuda. Walaupun mungkin kelemahan itu ada di mana-mana, namun ada nilai kematangan di kalangan mereka. Bukan sahaja melalui usul-usul yang dibentang, malah ucapan yang bernas dan sarat dengan "modal politik" ternyata telah menarik perhatian.

 Inilah sebenarnya yang perlu diberikan penekanan, kita harus mendepani masa dan mempunyai keupayaan untuk melonjakkan nilai politik UMNO/BN itu sendiri, sesuai dengan keperluan semasa. mesyuarat di cawangan sebenarnya bukan sahaja menjadi medan untuk melontarkan pandangan atau kritikan membina demi parti kita UMNO, tetapi juga ia haruslah menjadi "kelas politik" yang boleh memberikan sekian banyak input dan pelajaran politik kepada kita semua.

Lebih membanggakan apabila kita menjadi parti yang sangat berbeza dengan pembangkang. Ahli UMNO sangat terbuka, mereka boleh dan tahu melontarkan kritikan demi menegur pemimpin. Pembangkang tidak, kerana bagi golongan itu, kepentingan parti dan politik mereka mengatasi segala-galanya. Oleh kerana itulah, mereka tergamak mengubah hukum sesuka hati asalkan ia boleh membawa keuntungan politik mereka.

 Ahli pembangkang tidak berani menegur pemimpin kerana mereka taksub dan ia tidak boleh diubah lagi. Saya gembira dengan demokrasi yang sangat segar di dalam UMNO. Biarlah pembangkang mahu mengatakan apa pun kerana mereka tidak pernah faham mengenai UMNO, apatah lagi UMNO itu musuh bagi mereka.

 Ahli-ahli UMNO perlu memperkasakan parti bermula di peringkat cawangan, dan kemudiannya terus ke atas dan ke atas. Zaman sudah jauh berubah, wajah dan watak manusia juga begitu. Politik UMNO perlu berada di 'arash yang tepat agar ia relevan dengan kehendak semasa.

 cabaran yang sedang menanti bukanlah kecil dan sedikit. Jika kita lemah, kita akan mudah kalah. Saya tidak bimbang dengan kekuatan UMNO, kerana kekuatan itu sentiasa ada. Oleh itu, saya mahukan semua jentera parti, khususnya Pemuda UMNO Terengganu memberikan perhatian dalam mengisi slot politik semasa dengan kaedah dan strategi yang juga bersifat semasa.

 UMNO akan terus berada dan bertakhta di hati rakyat selagi kita terus istiqamah dengan perjuangan parti. Rakyat telah dan sedang melihat kita. Keupayaan kita membina parti adalah jalan untuk menuju kejayaan. UMNO adalah parti keramat, ia tidak akan hilang di bumi bertuah ini hanya semata-mata Pakatan Syaitan.

 Percayalah!

Jumaat, 8 April 2011

POLITIK: MENGAPA BEGITU.

 Salam politik,

 Saya mengikuti dengan teliti isu penyebaran video seks yang dikaitkan dengan anwar ibrahim. Di semua alam maya, ramai juga yang menjadi pak nafi yang kononnya tidak mempercayai isi video berkenaan. Terpulanglah kepada mereka, tetapi bagi saya, rakyat yang menonton video itu akan lebih memahami dan tahu akan kebenarannya.

 Saya cuma sedikit terkilan, mengapa ramai juga rakyat kita, bukan sahaja di kelas biasa tetapi juga kelas terpelajar boleh terperangkap dengan hal-hal sedemikian. Mereka telah memberikan tafsiran bahawa hanya mereka sahaja yang betul. Apa sahaja yang menguntungkan mereka, itulah betul dan orang lain salah belaka walaupun apa yang berlaku terang-terang bertentangan dengan nilai moral.

 Pemimpin Pas sendiri, yang selama ini mendakwa memperjuangkan Islam turut bersikap sama - apakah itu ajaran Islam sebenar?. Atau adakah itu ajaran politik Pas?. Inilah yang rakyat perlu tahu. Mereka tidak boleh terpedaya dengan jubah dan serban yang dipakai oleh puak Pas kerana mereka belum tentu mematuhi ajaran Islam yang sebenar. Sebagai umat Islam, adalah amat menyedihkan apabila semakin hari semakin dipesongkan pemikiran mereka mengenai kebenaran. Ramai juga yang telah terperangkap dan diperbodohkan tetapi mereka ini seolah-olah tidak sedar akan hal tersebut. Persoalannya, apakah hal ini baik untuk perkembangan politik dan masa depan negara?. Anda fikirlah sendiri.

 Saya berpendapat, sesuatu harus dilakukan secara agresif dan kondusif bagi memerangi gejala ini. Pemimpin politik termasuk kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan agenda ini menjadi kenyataan. Untuk apa?. Sebenarnya, kerajaan dan kita semua telah kerugian masa yang amat banyak kerana hanya untuk berdepan dengan cara berpolitik secara murahan ini. Pemikiran rakyat perlu diubah semula dan memastikan mereka berubah dalam menerima kebenaran walaupun ia pahit.

 Pemikiran mereka harus terbuka, bijak mengurus maklumat dan tidak dibiarkan terus kekal dengan kejumudan yang dihasilkan pembangkang. Walaupun hakikatnya politik negara sudah jauh berubah, namun ia harus seiring dengan perubahan pemikiran orang kita juga. Ini sangat penting sebenarnya.
 Isu penyebaran video skandal seks itu adalah bukti betapa masih ada rakyat yang dengan mudah diperbodohkan. Hakikatnya, tidak pernah ada di dunia ini, mana-mana pemimpin dunia yang dikaitkan dengan video skandal seks menafikan bahawa yang didalam video itu adalah dirinya kecuali anwar ibrahim. Walaupun hakikat bahawa apa yang berlaku dengan jelas dan nyata tidak boleh diubah sama sekali, namun masih ada yang enggan mempercayainya. mereka tidak boleh menerima hakikat.

 Seperti mana ramai juga rakyat yang tertipu dengan imej Islam yang dibawa pemimpin pas walaupun akhlak mereka tidak langsung menepati kehendak Islam, maka tidak hairanlah apa yang berlaku dalam video skandal seks itu.

 Apa yang pasti, setiap sesuatu berlaku adalah atas kehendak Allah. Kebenaran adalah sesuatu yang tidak boleh diubah atau dipinda. 

Selasa, 5 April 2011

VIDEO SEKS: AKHIRNYA ...

 Assalamualaikum...

 Akhirnya terdedah juga video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan pembangkang. Walaupun ia kurang dua minit, video tersebut ternyata telah membuka mata rakyat untuk membuat penilaian walaupun puak dan pengikut pembangkang sedang bermati-matian untuk menafikan kejadian tersebut. Sesiapa pun yang menyaksikan video itu, saya percaya bahawa jauh di sudut hati mereka, mereka akan percaya. 

 Pengikut pembangkang telah melihat pendedahan mengenai video tersebut kononnya sebagai konspirasi jahat, iaitu skrip lama terhadap UMNO yang diulang-ulang. Namun bagi saya, bukan mudah untuk MENIPU melalui video seperti itu, dan tidak hairanlah apabila pakar sendiri memperakui bahawa video itu adalah tulin.

 Ketepikan soal itu seketika, saya cuma ingin menyatakan bahawa saya melihat peristiwa itu sebagai kehendak Allah untuk mendedahkan kebenaran yang selama ini sentiasa menjadi tanda-tanya di kalangan rakyat. Sejak agak lama, rakyat dimomokkan dengan penafian demi penafian kerana tiada saksi yang melihat kecuali mereka yang pernah menjadi mangsa sahaja yang tahu.

 Bagaimanapun dalam kes video ini, ia adalah terlalu sulit untuk dinafikan. Biarlah puak pembangkang mahu menafikannya, tetapi apa yang pasti, rakyat sudah cerdik dan bijak. Mereka menilai melalui apa yang mereka lihat, bukannya dengar cakap semata-mata. Inilah kelebihan mengenai pendedahan terbaharu ini.

  Apa yang berlaku kali ini sangat menguji pemikiran politik rakyat kita. Nah!, seperti yang dijangkakan, ramai juga yang bermimpi di siang hari dan terbuai oleh penafian. mereka lihat dan saksi sendiri tetapi mereka tidak mahu percaya. Terpulanglah kepada mereka.

 Apa pun, inilah sebahagian daripada cara fikiran orang kita mengurus politik. Mereka berat sebelah dan tidak adil. Jika terkena kepada UMNO, apa pun yang tertayang atau sengaja disebarkan sebagai fitnah, mereka akan cepat percaya. Sebaliknya apabila terkena batang hidung sendiri, mereka tidak mahu percaya.

 Jujurnya, saya tabik kepada bekas Menteri Kesihatan yang juga Presiden MCA sekarang, Datuk Seri Chua Soi Lek yang dengan bertanggungjawab mengaku bahawa video yang pernah tersebar sebelum ini dan dikaitkan dengannya adalah dirinya. Beliau kemudian memohon maaf. Saya bukan mahu memaksa untuk kita mengatakan bahawa ya memang "dia" dalam video itu tetapi apa yang berlaku, kita semua boleh menilainya.

 Politik seperti inilah yang akan menghancurkan negara. Terlalu taksub sehingga gagal membezakan antara yang baik dan buruk. Malah, tergemak menelan apa sahaja yang dihemburkan kepada mereka. Saya percaya, cahaya kebenaran semakin hampir. Dengan kuasa dan kehendak Allah, semua ini berlaku. 

 Kepada rakyat, bermuhasabahlah, berfikirlah .... dan lakukan keputusan yang terbaik untuk menolak manusia yang hipokrit daripada terus berada dalam persada politik tanahair kita.


Isnin, 28 Mac 2011

KONFLIT PEMIKIRAN

 Assalamualaikum.

 Terkejut satu negara. Gempar dengan isu video seks yang dikaitlkan dengan seorang pemimpin pembangkang di negara ini. Pendedahan oleh Datuk T ternyata telah menjadikan iklim politik negara kian panas dan sehingga kini pelbagai perkara diperkatakan. Memandangkan ia adalah kes polis, maka serahkanlah kepada polis untuk menjalankan siasatan.

 Di pihak saya, saya cuma kecewa, dan kadangkala geli hati dengan gelagat sesetengah orang kita yang begitu awal membuat pelbagai andaian mengenai pendedahan video berkenaan. Ada yang cepat-cepat mendakwa ia adalah konspirasi jahat dan ada yang beranggapan itu adalah satu fitnah. Peliknya, orang yang berpegang dengan agama Islam boleh berpandangan sedemikian sedangkan mereka sendiri belum melihat isi video berkenaan. Ironinya, semua itu kerana mahu menutup kelemahan atas dasar kepentingan politik.

 Dan, ada juga yang awal-awal menolak gesaan penubuhan Suruhanjaya Di Raja bagi menjalankan siasatan mengenai isu berkenaan. Peliknya, jika isu yang berkait dengan pemimpin kerajaan, golongan dan pihak yang sama begitu lantang mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan siasatan.

 Apa yang hendak saya katakan ialah double standard dalam berpolitik di kalangan masyarakat kita adalah sesuatu yang memalukan, tidak menyumbang kepada kelebihan serta kematangan dalam penilaian sesuatu perkara. Sehingga kini, saya sendiri tidak berani menyatakan isi kandungan video itu benar, tetapi pada masa yang sama, saya tidak tidak mahu mengatakan ianya satu fitnah. Kita belum lihat sendiri, dan kerana itu tidaklah boleh kita membuat apa jua spekulasi.

 Demikianlah berbezanya BN dengan Pakatan Pembangkang. Saya lihat, BN, khususnya UMNO yang menjadi parti Islam/Melayu lebih berintergriti kerana setiap isu moral yang dikaitkan dengan pemimpinnya akan diambil tindakan walaupun mungkin ada pemimpin berkenaan telah didapati tidak bersalah pada akhirnya.UMNO tidak mempertahankan pemimpin sedemikian. Sebaliknya di pihak pembangkang, setiap isu moral yang dikaitkan dengan pemimpin mereka, pemimpin berkenaan pula dianggap wira dan dipuja-puja.

 Secara jujurnya, saya tidak pernah hairan dengan keadaan sedemikian kerana sejak sekian lama pembangkang wujud dengan suara maki hamun, fitnah dan sebagainya yang turut dikaitkan sebagai sebahagian daripada isu moral.

 Saya berpendapat, rakyat jangan terlalu cepat melatah, melenting dengan apa yang didedahkan - tidak kiralah apa pun isunya - sama ada yang berkaitan dengan pemimpin kerajaan atau pembangkang. Namun, dalam konteks pendedahan video seks terbaharu itu, rakyat harus bertenang. Berikan kepercayaan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

 Apa yang menjadi masalah, ada di kalangan kita hanya menerima kebenaran hanya apabila tindakan terkena ke atas musuh mereka sahaja dan itu akan lebih cepat dianggap benar. Sebaliknya jika memang benar pemimpin pembangkang terlibat dengan isu moral, mereka tidak mahu mempercayainya. Itu salah. Kita harus belajar menerima kenyataan sebagai satu hakikat yang tidak boleh diubah sama sekali, walau siapa pun kita.

 Hakikatnya, pemikiran kita harus berubah. Kita perlu lebih bijak mendepani isu-isu politik agar kita lebih kenalah siapakah yang mahu diberikan kepercayaan. Apa, kita harus menerima kenyataan bahawa Allah Maha Tahu segala-galanya. Apa yang berlaku, sama ada kita suka atau tidak, ia adalah di atas kehendak Allah.

 Yang terdedah juga begitu. Siapa sangka!.

Selasa, 22 Mac 2011


 Salam bloger,

 Sebaik dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Ahmad Said ternyata telah berjaya membawa sesuatu yang tidak terfikir di Terengganu. Dengan slogan "merakyatkan pentadbiran dan pembangunan", beliau mengharungi setiap perjalanan hidupnya sebagai ketua kerajaan dengan sabar dan tenang.

 Yalah, bukan senang untuk melihat perubahan atau pembaharuan terbentuk dalam waktu yang singkat. Maka, begitulah apa yang cuba dibawa Menteri Besar Terengganu ini. Sebenarnya, apa yang saya mahu sampaikan kepada anda betapa rakyat Terengganu kini semakin selesa dengan kepimpinan kerajaan negeri biarpun adanya pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.

 Saya melihat kesungguhan Menteri Besar kita, bukan sahaja membentuk semula landskap politik UMNO itu sendiri tetapi kehidupan rakyat secara keseluruhannya. Walaupun mungkin yang beliau cetuskan itu nampak kecil dan cuba diperlekehkan pihak tertentu, namun bagi membolehkan rakyat benar-benar merasai faedah daripada kerajaan, maka beliau berani melakukan. Di situlah saya melihat kelebihannya.

 Rata-rata rakyat Terengganu kini semakin selesa dengan gagasan "merakyatkan pembangunan dan pentadbiran", apatah lagi melalui pendekatan mesra rakyat yang ditunjukkan. Pemuda UMNO Terengganu khususnya sebenarnya sangat berbangga dengan apa yang berlaku.

 Dalam konteks politik pula, gerakan yang dilaksanakan kerajaan negeri hari ini telah menakut dan menggerunkan musuh politik BN. Ini dapat dilihat melalui reaksi yang diberikan oleh mereka berkenaan. Saya optimis bahawa Terengganu akan melalui proses perubahan yang ketara. Cuma, mungkin ia akan memakan sedikit masa. Itu saja.

 Kepada rakyat Terengganu, mari kita bersatu membentuk kesepakatan untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN kerana yang terbukti berjaya dalam usaha menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri ini adalah kita, parti BN. Ini adalah hakikat yang sebenar-benarnya kerana Pas juga pernah diberikan mandat dan kuasa pada PRU 1999, namun ternyata mereka telah gagal.

 Sama-sama kita fikirkannya.

Selasa, 8 Mac 2011

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Syukur alhamdulillah, akhirnya saya dapat membuka laman blog saya yang baharu selepas begitu lama menyepi (laman blog lama). Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan semangat serta sokongan untuk saya menulis di laman maya ini - dengan mengupas pelbagai isu-isu semasa.

Saya sangat berharap agar ruangan ini akan menjadi tempat paling sesuai untuk saya mengulas dan membuat analisa mengenai isu-isu semasa yang berlaku. ia sekaligus membolehkan saya berinteraksi secara langsung dengan anda semua.

Jujurnya, saya masih terlalu baharu untuk menjadi penulis, namun bagi memenuhi keperluan, saya akan cuba menulis. Oleh kerana itu, saya amat memerlukan pandangan serta idea daripada anda semua bagi membantu menambahbaikkan laman ini agar ia lebih bermanafaat untuk kita semua.

Insya'Allah, saya akan terus menulis dan mulai sekarang, anda akan dapat mengikuti tulisan saya dari semasa ke semasa. Saya berdoa, usaha yang baik ini akan terus mendapat sokongan dan dokongan anda semua.

Terima kasih kerana anda sudi menjadi teman perkongsian idea dengan saya dan mudah-mudahan apa yang telah dan akan saya catatkan ini semua akan memberikan kelebihan kepada kita semua demi agama, bangsa dan negara.

 Terima kasih.