Selasa, 24 Mei 2011

TIDAK MAHU BUBAR DUN: PAKATAN TAKUT BAYANG-BAYANG

 Assalamualaikum.

 Tiba-tiba Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng mengumumkan parti itu mengambil pendirian bahawa semua negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor  tidak akan membubarkan DUN masing-masing jika Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen. Ia sekaligus berbeza dengan amalan tradisi sebelum ini dimana semua DUN dibubarkan sebaik Parlimen dibubarkan.

 Walaupun saya sendiri tidak terkejut dengan kenyataan serta pendirian tersebut, namun ia agak menarik untuk diulas sebagai bahan berfikir untuk kita semua. Tidak sukar untuk memahami sifir politik pembangkang ini apabila mereka mengambil pendekatan atau keputusan sedemikian.

 Pertama, jika bukan kerana takut atau tidak yakin akan mempertahankan kekuasaan di negeri berkenaan, mereka pasti tidak akan memutuskan sedemikian. Sudah tentu mereka mulai faham betapa sekarang rakyat semakin sedar dengan permainan politik murahan yang diamalkan kerajaan pembangkang. Malah, saya percaya bahawa mereka sedar ketidakupayaan untuk menunaikan segala janji yang ditaburkan pada Pilihan Raya Umum lalu telah menjadi antara penyebab utama mengapa mereka itu takut.

 Kedua, jika diambil dari sudut iklim politik semasa, dengan isu-isu yang berlaku sekarang, sudah tentu kita melihat ia banyak memihak kepada pembangkang. Bagaimanapun mereka masih tidak berani membubarkan DUN?. Mengapa?. Percayalah bahawa mereka melakukan sedemikian kerana mereka juga melakuakn kaji selidik mengenai sikap atau pendirian politik mereka. Dan, apabila mereka memutuskan untuk tidak membubarkan DUN, ia sudah tentu bersebab.

 Ketiga, ia hanyalah satu strategi untuk memerangkap BN. Ia dilihat sebagai usaha mencetuskan provokasi terhadap BN agar lebih berhati-hati dan tidak mudah diadakan pilihan raya. Apa yang saya maksudkan, walaupun banyak perkara dilihat makin memihak kepada pembangkang, hakikatnya mereka masih belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Percayalah.

 Apa pun, sebagai rakyat yang bijak, anda nilailah sendiri pendirian pembangkang yang selama ini bermati-matian kononnya memperjuangkan kebebasan dan demokrasi. Inilah watak yang cuba ditunjukkan kepada rakyat betapa mereka sebenarnya masih belum puas dengan kuasa yang mereka ada di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

 Lihat, apa yang diputuskan tidak sama dengan mood yang mereka canangkan kepada rakyat seolah-olah pilihan raya akan diadakan di esok hari. Rakyat tidak usah terperangkap atau terpedaya dengan mereka. Saya percaya, semua ini adalah permainan politik pembangkang semata-mata. Tidak lebih dari itu.

 BN adalah parti yang mendokong sistem demokrasi  dan BN adalah parti yang mempercayai keluluhan perlembagaan dan kerana itu, setiap perkara yang dilaksanakan mestilah berteraskan kepada perkara tersebut walaupun ia tidak digemari atau tidak disukai oleh sesetengah pihak.

 Saya berharap, rakyat akan lebih bijak menilai mengenai perkara tersebut. Ingatlah, menukar sesebuah kerajaan bukan semudah kita menukar pakaian. Berhati-hatilah, buatlah keputusan yang bijak dengan terus bersama BN.

UMNO PARTI RAKYAT

 Assalamualaikum.

 Semua orang kini bercakap soal pilihan raya umum yang katanya akan diadakan pada bila-bila masa atau selewat-lewatnya awal tahun depan. Itu andaiannyalah. Namun hakikat sebenar tarikh tersebut tidaklah diketahui kerana ia adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. 

 Dalam konteks UMNO, khususnya Pemuda Terengganu, apakah ertinya cakap-cakap politik mengenai pilihan raya ini. Saya berpendapat, kita tidak boleh terbuai dengan cakap-cakap sedemikian sehingga kita lupa mengenai tanggungjawab kita untuk memperkukuhkan parti dalam maksud membuat persediaan sewajarnya menjelang pilihan raya itu.

 Apa yang dikehendaki pucuk kepimpinan parti agar semua pemimpin UMNO mesti turun padang, mendekati rakyat mestilah diterjemahkan dan dibuktikan. Mungkin terdapat salah faham mengenai gesaan tersebut sehingga ramai yang melihat bahawa tanggungjawab  untuk turun padang hanya terletak ke atas bahu pemimpin atasan sahaja.

 Bagi saya, setiap daripada kita yang memegang jawatan dalam parti sehingga di peringkat cawangan juga adalah pemimpin. Maka tanggungjawab yang dipikul adalah sama.

 Pun begitu, saya sangat berpuas hati dengan usaha dan pendekatan berterusan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri dalam memastikan program turun padang ini sentiasa dilaksanakan. Bagi kami, suara rakyat adalah satu keutamaan yang mesti diberikan perhatian dan pembelaan. Oleh kerana itu, saya sentiasa meminta dan bersama dengan pemimpin pemuda pun untuk sama-sama turun padang bertemu rakyat dan mendengar suara serta rintihan mereka.

 UMNO adalah parti penyelesai masalah rakyat. Itulah yang sentiasa saya berikan perhatian dalam menggerakan setiap program kemasyarakatan di Terengganu. Alhamdulillah, saya percaya bahawa rakyat semakin melihat peranan serta sumbangan UMNO dalam membina nasib mereka. 

 Kejayaan UMNO untuk muncul sebagai satu-satunya parti yang sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh disangkal atau dinafikan oleh sesiapa pun. UMNO itu sentiasa adalah parti rakyat yang ditubuhkan demi rakyat dan tanahair tercinta.

 Saya berharap, menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan nanti, rakyat akan terus memilih UMNO/BN sebagai parti pilihan mereka. Saya sangat yakin, rakyat di negeri ini, di negara ini tidak akan mudah terpedaya atau diperbodohkan oleh pembangkang.

Ahad, 22 Mei 2011

BELI UTUSAN, TANDA SOKONGAN

 Assalamualaikum.

 Saya sungguh tertarik dengan penyerahan memorandum sakongan PERKASA dan Pergerakan Pemuda UMNO kepada Utusan di ibu negara baru-baru ini. Walaupun bagi sesetengah orang walaupun isu tersebut tidaklah sebesar mana, namun ia tidak begitu bagi saya.

 Sebagai seorang pembaca dan pelanggan tetap akhbar Melayu itu, saya sebenarnya sangat bangga dengan Utusan yang menjadi satu-satunya akhbar Melayu yang berani dalam melaporkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.

 Saya berpendangan, Utusan bukan hanya sebagai sebuah akhbar Melayu semata-mata, malah telah menjadi sebahagian daripada institusi Melayu itu sendiri yang peranannya telah terbukti melalui sejarah perjuangan Utusan termasuk ketika menuntut kemerdekaan. Demikianlah hebatnya Utusan dalam perjuangan Melayu di negara ini.

 Saya pelik apabila ada sahaja pihak yang menunding jari kepada Utusan kononnya ia adalah akhbar rasis atau perkauman sedangkan perjuangan Utusan sejak dahulu sangatlah jelas dan tidak pernah berubah. Lebih pelik apabila  ada akhbar yang baru sekarang bersikap rasis, tetapi tidak pula kedengaran tentangan dibuat ke atas akhbar berkenaan. Akhbar lain seolah-olah bebas dengan laporang mereka tetapi apabila akhbar Melayu yang menjadi tuan kepada tanah tumpah darahnya melaporkan mengenai isu-isu untuk mempertahankan Islam dan Melayu, ada pula yang melatah.

 Saya sangat percaya, cubaan untuk menjahanamkan nama baik dan reputasi Utusan disebabkan kekhuatiran pihak tertentu terhadap pendedahan serta peranan Utusan sendiri dalam memberikan kesedaran kepada rakyat. Golongan itu mula nampak, Utusan tidak boleh dibiarkan dengan keadaan tersebut kerana ia sudah pasti mengancam kepentingan serta cita-cita mereka.

 Hakikatnya, saya mempertahankan Utusan bukan kerana saya Ketua Pemuda UMNO Terengganu, malah ketika saya di bangku sekolah pun, Utusan telah menjadi sebahagian daripada bacan bacaan saya. Utusan adalah suara rakyat dan menjadi akhbar yang sangat berani sebenarnya. Jujurnya, Utusan juga akan mendedahkan, menegur dan membelasah pemimpin UMNO yang terlibat dengan isu-isu yang merugikan Melayu. Di sini hebatnya Utusan berbanding akhbar-akhbar lain.
 Apa yang penting bagi saya, rakyat perlu menyokong Utusan sebagai sebuah akhbar yang berteraskan kepada institusi Melayu. Sokongan itu pula tidak seharusnya kekal hanya menyampaikan memorandum semata-mata kerana saya berpandangan, sokongan mestilah dizahirkan melalui pembelian atau langganan akhbar ini.

 Selain secara individu, orang kaya Melayu perlu menyokong usaha Utusan melalui tajaan dan sebagainya bagi membolehkan akhbar ini dilihat benar-benar disokong dan dipertahankan.

 Saya menyeru seluruh ahli UMNO, khususnya Pergerakan Pemuda agar membeli dan membaca Utusan atau melanggannya. Kaedah itu sebenarnya jauh lebih berkesan dalam menyatakan sokongan kepada Utusan.

 Saya bukanlah juru kempen Utusan tetapi saya melihat Utusan sebagai sebuah institusi Melayu yang wajib dipertahankan demi masa depan bangsa kita di tanahair bertuah ini. 

 Hidup Utusan!

Khamis, 19 Mei 2011

MOMENTUM BARU POLITIK UMNO TERENGGANU

 Assalamualaikum.

 Alhamdulillah, walaupun dalam kesibukan dapat juga saya update blog saya ini. Tentu sekali sekarang ini ahli-ahli UMNO sedang sibuk dengan persidangan parti yang telah menjadi sebahagian daripada tuntutan dalam perlembagaan parti.

 Apa yang saya lihat melalui proses persidangan yang berlangsung setakat ini, sama ada di peringkat sayap dan bahagian, rata-rata ahli parti sangat bersemangat sekali. Jelas sekali, mereka sedang berada dalam mood pilihan raya umum yang tarikhnya masih menjadi teka-teki semua pihak.

 Inilah yang saya lihat sebagai satu kejayaan awal kita sebelum berhadapan dengan pilihan raya akan datang. Mutu pembahas yang mengambil bahagian dalam perbahasan juga semakin berubah dan sudah ramai yang berkebolehan sebagai pidato yang handal. Saya cadangkan mereka ini diberikan pendedahan sebagai penceramah BN dalam pilihan raya umum anti.
 Sebenarnya, inilah yang kita perlukan. Momentum politik UMNO> Setelah politik UMNO Terengganu khususnya dilihat agak dingin dengan isu-isu politik nasional, namun sekarang keadaan itu semakin kelihatan. Maksud saya ialah, kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO telah bersatu dan membentuk satu pasukan politik yang mantap bagi berhadapan pilihan raya umum akan datang.

 Ini adalah satu realiti politik kita yang wajar kita akui. Saya sendiri melihat bahawa kita bukan lagi berada di fasa yang boleh melemahkan parti dan keadaan itu sedia difahami oleh kita semua. Hari ini kita berada di dalam fasa untuk memperkukuhkan parti dan menjana kekuatan semampu mungkin bagi berhadapan dengan pilihan raya umum.

 UMNO Terengganu khususnya semakin bersatu dan sudah tentu semakin kuat sekarang. Keadaan ini telah mengundang rasa cemburu dan takut kepada parti pembangkang kerana mereka menyangka UMNO masih lemah sehingga boleh memberikan laluan kepada mereka untuk kembali berkuasa di Terengganu. Itu tidak mungkin.
 Berikutan keadaan itulah, pembangkang kita nampak mula gusar dan memberikan perhatian terhadap negeri ini. Jelas sekali sangkaan dan andaian mereka mengenai UMNO sangat meleset sama sekali. Oleh kerana itulah, mereka kini membawa penceramah luar bagi membangkitkan semangat orang Terengganu kerana mereka sedar bahawa UMNO Terengganu semakin kuat.

 Saya amat optimis bahawa kita akan mampu mencapai kemenangan selesa pada Pilihan Raya Umum akan datang jika kita meningkatkan keupayaan atau kemampuan yang ada. Kita sudah mula menampakkan momentum politik kita tetapi pada masa yang sama, masih terhadap hal-hal yang boleh membantu kekuatan parti untuk diberikan perhatian.

 Saya percaya, rakyat masih memerlukan BN kerana rakyat Terengganu sendiri pernah tertipu oleh PAS yang memerintah negeri itu sejak 1999 hingga 2004 yang lalu. 

 Semoga kita akan terus melakar kejayaan.

Isnin, 9 Mei 2011

JANGAN BERMAIN API

 Assalamualaikum.

 Bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi isu-isu sensetif yang melibatkan agama dan bangsa kini bagaikan sudah menjadi trend dalam arena politik negara. Sebagai pemimpin muda, saya melihat senario ini secara serius betapa ia sebenarnya tidak sihat untuk masa depan politik dan kestabilan negara.

 Hakikatnya, bukan mudah untuk mempertahankan keharmonian penduduk yang berbilang kaum di Malaysia. Namun saya hairan mengapa masih ada pihak yang tidak pernah belajar daripada sejarah, sehingga mereka tergamak bertindak melakukan provokasi dalam isu-isu yang bersifat perkauman.

 Saya lebih cenderung untuk mengajak rakyat agar menilai semula pemimpin dan parti politik yang sengaja bermain dengan isu agama dan bangsa ini demi untuk mencapai cita-cita sempit mereka.

 Kita tidak tahu di mana silap dan lemahnya sehingga perkara sedemikian kini semakin berleluasa. Selain isu kalimah Allah sebelum ini sehinggalah apa yang disebut percubaan pihak tertentu untuk menjadi Kristian sebagai agama rasmi di negara kita. Jika benar isu terbaharu, ia sudah tentu menjadi satu perkara yang sangat malang bagi kita semua.
 Saya berpendapat, kerajaan mesti perlu lebih tegas bertindak dalam membendung gejala ini jika tidak mahu ia menjadi punca kepada masalah yang lebih besar. Tragedi 13 Mei adalah sejarah hitam yang harus kita ingat sebagai panduan agar isu-isu sensetif ini tidak dijadikan umpan untuk memancing sokongan politik.

 Walaupun kita percaya bahawa rakyat kian bijak dalam menangani apa yang berlaku, jika kerajaan lewat bertindak, ia memungkin mendedahkan kita kepada mala petaka.

 Sudah sampai masanya, kerajaan bertindak bagi mengekang perkara sedemikian. Tanpa memilih siapa mereka, jika mereka terbukti dan berasas untuk dikaitkan dengan gerakan yang boleh menyemarakkan api perkauman, tindakan mesti diambil.

 Kita tidak boleh melihat isu-isu kaum dari perspektif politik semata-mata tetapi pada masa yang sama memiggirkan hal-hal lain. Saya faham, dalam keadaan sekarang, semua parti mahu menjadi juara kepada bangsa mereka. Bagaimanapun cubaan untuk mempertikaikan apa yang telah dipersetujui melalui kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan, ia adalah sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali.

 Saya menyeru kepada rakyat, agar mereka tidak mudah terjebak. Marilah kita melihat isu-isu yang dimainkan pihak tertentu ini secara bertanggungjawab. Rakyat mesti menolak golongan pelampau, parti yang berfikiran sempit dan pemimpin yang meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat.

 Kita mesti mempelihara keamanan dan kesejahteraan sedia ada. Kita yang bangga sebagai rakyat Malaysia harus membuktikannya.

Selasa, 3 Mei 2011

UMMI VS ANWAR DI KUALA TERENGGANU ESOK

 Assalamualaikum.

 Peristiwa yang pasti panas. Khabarnya, adik Timbalan Presiden PKR (Azmin Ali), iaitu Ummi Hafilda Ali akan berceramah di Kuala Terengganu esok (6 Mei). Mengapa saya katakan peristiwa panas?. Sebabnya pada tarikh yang sama, Ketua Pembangkang yang kini sedang berhadapan dengan isu skandal video seks yang dikaitkan dengannya akan turut berceramah di Kuala Terengganu.

 Nampaknya, Ummi mengekori ke mana sahaja Anwar yang menjadi musuhnya pergi. Khabarnya, ceramah Ummi Hafilda sebelum ini telah mendapat sambutang yang amat menggalakkan kerana rakyat ingin tahu apa sebenarnya berlaku.

 Saya melihat, tindakan Ummi Hafilda yang "mengekori" ke mana sahaja Anwar berceramah telah memberikan satu tekanan kepada beliau. Sebelum ini, kedua-duanya berceramah di Kota Bharu, Kelantan.

 Anwar sedang berhadapan dengan krisis imej dan moralnya. Walaupun pembangkang menggunakan pelbagai propaganda murahan untuk menafikan penglibatan Anwar dalam skandal video seks yang kini telah tersebar luas, namun sebahagian besar rakyat yang berfikiran waras telah pun membuat pertimbangan mereka.

 Apatah lagi dengan kedatangan Ummi Hafilda untuk membuat pendedahan mengenai Anwar yang digelar sebagai "Anugerah Tuhan" oleh isterinya sendiri sudah tentu akan memanaskan lagi iklim politik negara pada masa ini.

 Saya percaya, Ummi sudah tentu "membawa sesuatu" dalam setiap ceramahnya dan sepengetahuan saya, ucapan Ummi akan diselangi dengan hujjah-hujjah yang meyakinkan termasuk bersumpah dengan nama Allah terhadap setiap dakwaan yang telah dibuat.

 meski pun, isu sumpah itu dipropagandakan sebagai tidak sah dan tidak selari dengan Islam, hakikatnya rakyat menilai siapa yang berani bersumpah dengan nama Allah adalah mereka yang benar. Anwar takut bersumpah dengan pelbagai alasan.

 Marilah kita datang beramai-ramai mendengar pendedahan Ummi Hafilda malam esok di Kampung Tanjung (Belakang Astaka).