Isnin, 28 Mac 2011

KONFLIT PEMIKIRAN

 Assalamualaikum.

 Terkejut satu negara. Gempar dengan isu video seks yang dikaitlkan dengan seorang pemimpin pembangkang di negara ini. Pendedahan oleh Datuk T ternyata telah menjadikan iklim politik negara kian panas dan sehingga kini pelbagai perkara diperkatakan. Memandangkan ia adalah kes polis, maka serahkanlah kepada polis untuk menjalankan siasatan.

 Di pihak saya, saya cuma kecewa, dan kadangkala geli hati dengan gelagat sesetengah orang kita yang begitu awal membuat pelbagai andaian mengenai pendedahan video berkenaan. Ada yang cepat-cepat mendakwa ia adalah konspirasi jahat dan ada yang beranggapan itu adalah satu fitnah. Peliknya, orang yang berpegang dengan agama Islam boleh berpandangan sedemikian sedangkan mereka sendiri belum melihat isi video berkenaan. Ironinya, semua itu kerana mahu menutup kelemahan atas dasar kepentingan politik.

 Dan, ada juga yang awal-awal menolak gesaan penubuhan Suruhanjaya Di Raja bagi menjalankan siasatan mengenai isu berkenaan. Peliknya, jika isu yang berkait dengan pemimpin kerajaan, golongan dan pihak yang sama begitu lantang mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan siasatan.

 Apa yang hendak saya katakan ialah double standard dalam berpolitik di kalangan masyarakat kita adalah sesuatu yang memalukan, tidak menyumbang kepada kelebihan serta kematangan dalam penilaian sesuatu perkara. Sehingga kini, saya sendiri tidak berani menyatakan isi kandungan video itu benar, tetapi pada masa yang sama, saya tidak tidak mahu mengatakan ianya satu fitnah. Kita belum lihat sendiri, dan kerana itu tidaklah boleh kita membuat apa jua spekulasi.

 Demikianlah berbezanya BN dengan Pakatan Pembangkang. Saya lihat, BN, khususnya UMNO yang menjadi parti Islam/Melayu lebih berintergriti kerana setiap isu moral yang dikaitkan dengan pemimpinnya akan diambil tindakan walaupun mungkin ada pemimpin berkenaan telah didapati tidak bersalah pada akhirnya.UMNO tidak mempertahankan pemimpin sedemikian. Sebaliknya di pihak pembangkang, setiap isu moral yang dikaitkan dengan pemimpin mereka, pemimpin berkenaan pula dianggap wira dan dipuja-puja.

 Secara jujurnya, saya tidak pernah hairan dengan keadaan sedemikian kerana sejak sekian lama pembangkang wujud dengan suara maki hamun, fitnah dan sebagainya yang turut dikaitkan sebagai sebahagian daripada isu moral.

 Saya berpendapat, rakyat jangan terlalu cepat melatah, melenting dengan apa yang didedahkan - tidak kiralah apa pun isunya - sama ada yang berkaitan dengan pemimpin kerajaan atau pembangkang. Namun, dalam konteks pendedahan video seks terbaharu itu, rakyat harus bertenang. Berikan kepercayaan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

 Apa yang menjadi masalah, ada di kalangan kita hanya menerima kebenaran hanya apabila tindakan terkena ke atas musuh mereka sahaja dan itu akan lebih cepat dianggap benar. Sebaliknya jika memang benar pemimpin pembangkang terlibat dengan isu moral, mereka tidak mahu mempercayainya. Itu salah. Kita harus belajar menerima kenyataan sebagai satu hakikat yang tidak boleh diubah sama sekali, walau siapa pun kita.

 Hakikatnya, pemikiran kita harus berubah. Kita perlu lebih bijak mendepani isu-isu politik agar kita lebih kenalah siapakah yang mahu diberikan kepercayaan. Apa, kita harus menerima kenyataan bahawa Allah Maha Tahu segala-galanya. Apa yang berlaku, sama ada kita suka atau tidak, ia adalah di atas kehendak Allah.

 Yang terdedah juga begitu. Siapa sangka!.

Selasa, 22 Mac 2011


 Salam bloger,

 Sebaik dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Ahmad Said ternyata telah berjaya membawa sesuatu yang tidak terfikir di Terengganu. Dengan slogan "merakyatkan pentadbiran dan pembangunan", beliau mengharungi setiap perjalanan hidupnya sebagai ketua kerajaan dengan sabar dan tenang.

 Yalah, bukan senang untuk melihat perubahan atau pembaharuan terbentuk dalam waktu yang singkat. Maka, begitulah apa yang cuba dibawa Menteri Besar Terengganu ini. Sebenarnya, apa yang saya mahu sampaikan kepada anda betapa rakyat Terengganu kini semakin selesa dengan kepimpinan kerajaan negeri biarpun adanya pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.

 Saya melihat kesungguhan Menteri Besar kita, bukan sahaja membentuk semula landskap politik UMNO itu sendiri tetapi kehidupan rakyat secara keseluruhannya. Walaupun mungkin yang beliau cetuskan itu nampak kecil dan cuba diperlekehkan pihak tertentu, namun bagi membolehkan rakyat benar-benar merasai faedah daripada kerajaan, maka beliau berani melakukan. Di situlah saya melihat kelebihannya.

 Rata-rata rakyat Terengganu kini semakin selesa dengan gagasan "merakyatkan pembangunan dan pentadbiran", apatah lagi melalui pendekatan mesra rakyat yang ditunjukkan. Pemuda UMNO Terengganu khususnya sebenarnya sangat berbangga dengan apa yang berlaku.

 Dalam konteks politik pula, gerakan yang dilaksanakan kerajaan negeri hari ini telah menakut dan menggerunkan musuh politik BN. Ini dapat dilihat melalui reaksi yang diberikan oleh mereka berkenaan. Saya optimis bahawa Terengganu akan melalui proses perubahan yang ketara. Cuma, mungkin ia akan memakan sedikit masa. Itu saja.

 Kepada rakyat Terengganu, mari kita bersatu membentuk kesepakatan untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan BN kerana yang terbukti berjaya dalam usaha menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri ini adalah kita, parti BN. Ini adalah hakikat yang sebenar-benarnya kerana Pas juga pernah diberikan mandat dan kuasa pada PRU 1999, namun ternyata mereka telah gagal.

 Sama-sama kita fikirkannya.

Selasa, 8 Mac 2011

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Syukur alhamdulillah, akhirnya saya dapat membuka laman blog saya yang baharu selepas begitu lama menyepi (laman blog lama). Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan semangat serta sokongan untuk saya menulis di laman maya ini - dengan mengupas pelbagai isu-isu semasa.

Saya sangat berharap agar ruangan ini akan menjadi tempat paling sesuai untuk saya mengulas dan membuat analisa mengenai isu-isu semasa yang berlaku. ia sekaligus membolehkan saya berinteraksi secara langsung dengan anda semua.

Jujurnya, saya masih terlalu baharu untuk menjadi penulis, namun bagi memenuhi keperluan, saya akan cuba menulis. Oleh kerana itu, saya amat memerlukan pandangan serta idea daripada anda semua bagi membantu menambahbaikkan laman ini agar ia lebih bermanafaat untuk kita semua.

Insya'Allah, saya akan terus menulis dan mulai sekarang, anda akan dapat mengikuti tulisan saya dari semasa ke semasa. Saya berdoa, usaha yang baik ini akan terus mendapat sokongan dan dokongan anda semua.

Terima kasih kerana anda sudi menjadi teman perkongsian idea dengan saya dan mudah-mudahan apa yang telah dan akan saya catatkan ini semua akan memberikan kelebihan kepada kita semua demi agama, bangsa dan negara.

 Terima kasih.