Isnin, 28 Mac 2011

KONFLIT PEMIKIRAN

 Assalamualaikum.

 Terkejut satu negara. Gempar dengan isu video seks yang dikaitlkan dengan seorang pemimpin pembangkang di negara ini. Pendedahan oleh Datuk T ternyata telah menjadikan iklim politik negara kian panas dan sehingga kini pelbagai perkara diperkatakan. Memandangkan ia adalah kes polis, maka serahkanlah kepada polis untuk menjalankan siasatan.

 Di pihak saya, saya cuma kecewa, dan kadangkala geli hati dengan gelagat sesetengah orang kita yang begitu awal membuat pelbagai andaian mengenai pendedahan video berkenaan. Ada yang cepat-cepat mendakwa ia adalah konspirasi jahat dan ada yang beranggapan itu adalah satu fitnah. Peliknya, orang yang berpegang dengan agama Islam boleh berpandangan sedemikian sedangkan mereka sendiri belum melihat isi video berkenaan. Ironinya, semua itu kerana mahu menutup kelemahan atas dasar kepentingan politik.

 Dan, ada juga yang awal-awal menolak gesaan penubuhan Suruhanjaya Di Raja bagi menjalankan siasatan mengenai isu berkenaan. Peliknya, jika isu yang berkait dengan pemimpin kerajaan, golongan dan pihak yang sama begitu lantang mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menjalankan siasatan.

 Apa yang hendak saya katakan ialah double standard dalam berpolitik di kalangan masyarakat kita adalah sesuatu yang memalukan, tidak menyumbang kepada kelebihan serta kematangan dalam penilaian sesuatu perkara. Sehingga kini, saya sendiri tidak berani menyatakan isi kandungan video itu benar, tetapi pada masa yang sama, saya tidak tidak mahu mengatakan ianya satu fitnah. Kita belum lihat sendiri, dan kerana itu tidaklah boleh kita membuat apa jua spekulasi.

 Demikianlah berbezanya BN dengan Pakatan Pembangkang. Saya lihat, BN, khususnya UMNO yang menjadi parti Islam/Melayu lebih berintergriti kerana setiap isu moral yang dikaitkan dengan pemimpinnya akan diambil tindakan walaupun mungkin ada pemimpin berkenaan telah didapati tidak bersalah pada akhirnya.UMNO tidak mempertahankan pemimpin sedemikian. Sebaliknya di pihak pembangkang, setiap isu moral yang dikaitkan dengan pemimpin mereka, pemimpin berkenaan pula dianggap wira dan dipuja-puja.

 Secara jujurnya, saya tidak pernah hairan dengan keadaan sedemikian kerana sejak sekian lama pembangkang wujud dengan suara maki hamun, fitnah dan sebagainya yang turut dikaitkan sebagai sebahagian daripada isu moral.

 Saya berpendapat, rakyat jangan terlalu cepat melatah, melenting dengan apa yang didedahkan - tidak kiralah apa pun isunya - sama ada yang berkaitan dengan pemimpin kerajaan atau pembangkang. Namun, dalam konteks pendedahan video seks terbaharu itu, rakyat harus bertenang. Berikan kepercayaan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

 Apa yang menjadi masalah, ada di kalangan kita hanya menerima kebenaran hanya apabila tindakan terkena ke atas musuh mereka sahaja dan itu akan lebih cepat dianggap benar. Sebaliknya jika memang benar pemimpin pembangkang terlibat dengan isu moral, mereka tidak mahu mempercayainya. Itu salah. Kita harus belajar menerima kenyataan sebagai satu hakikat yang tidak boleh diubah sama sekali, walau siapa pun kita.

 Hakikatnya, pemikiran kita harus berubah. Kita perlu lebih bijak mendepani isu-isu politik agar kita lebih kenalah siapakah yang mahu diberikan kepercayaan. Apa, kita harus menerima kenyataan bahawa Allah Maha Tahu segala-galanya. Apa yang berlaku, sama ada kita suka atau tidak, ia adalah di atas kehendak Allah.

 Yang terdedah juga begitu. Siapa sangka!.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan