Assalamualaikum.
Galak benar puak pembangkang untuk menganjurkan apa yang dinamakan sebagai BERSIH 2.0 di ibu negara 9 Julai ini. Bertindak kononnya mahu menuntut pilihan raya yang bersih dan mahu menyerahkan memorandum kepada Seri Padukan Baginda Yang Dipertuan Agong, penganjur sehingga kini dikatakan masih berdegil untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
Hakikatnya, perhimpunan tersebut jelas bermotifkan politik kerana bukanlah satu etika yang betul untuk menyerahkan memorandum kepada SPB melalui demonstrasi jalanan dan bukan cara juga mahu membuat tuntutan kononnya pilihan raya kita kotor.
Saya pelik juga, mengapa mereka tidak pernah mendakwa pilihan raya yang diadakan di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah yang menjadi negeri yang mereka kuasai tidak pula mereka anggap kotor sedangkan SPR yang sama yang menguruskan pilihan raya berkenaan. Jelas, mereka hanya melihat kotor apabila sesuatu perkara tidak memihak kepada mereka. Sebaliknya, jika ia menguntungkan mereka, maka bersihlah pilihan raya itu.
Inilah yang saya katakan politik kartun dalam rimba yang hanya membuat tafsiran sempit mengenai hakikat. Mereka bermain wayang dan politik di sebalik perhimpunan tersebut. Sebagai seorang pemimpin muda, saya menyeru kepada anak-anak muda agar tidak terjebak atau terpedaya dengan agenda jahat mereka ini yang mahu menjahanamkan imej negara di mata dunia. Orang muda kita jangan terheret dengan politik emosi yang merugikan kerana akhirnya, yang rugi ialah kita dan negara kita.
Cukuplah dengan sekian banyak kaedah memalukan yang dilakukan pembangkang. Mereka mahu menutup kelemahan diri pemimpin mereka dengan menganjurkan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh undang-undang. Kita semua mesti bijak dalam menangani isu ini.. Pembangkang sengaja menangguk di air yang keruh semata-mata. Mereka mempunyai niat dan tujuan yang lain di sebalik apa yang mereka katakan.Itu yang pasti.
Kita telah membina sebuah negara yang aman damai dan pemimpin BN telah berjaya membina sebuah negara Malaysia yang cemerlang seperti sekarang. Hakikatnya, bukan senang untuk membina sebuah negara seperti Malaysia tetapi pembangkang yang selama ini berjuang dengan bermodalkan air liur dengan mudah mahu meruntuhkan apa yang ada.
Oleh itu, rakyat harus berfikir dengan bijak. Kita semua, sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan mesti bertegas bahawa kita menolak sebarang cubaan untuk bertindak sehingga ia boleh merugikan negara bertuah ini.
Sama-samalah kita fikirkannya.

