Assalamualaikum.
Semua orang kini bercakap soal pilihan raya umum yang katanya akan diadakan pada bila-bila masa atau selewat-lewatnya awal tahun depan. Itu andaiannyalah. Namun hakikat sebenar tarikh tersebut tidaklah diketahui kerana ia adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Dalam konteks UMNO, khususnya Pemuda Terengganu, apakah ertinya cakap-cakap politik mengenai pilihan raya ini. Saya berpendapat, kita tidak boleh terbuai dengan cakap-cakap sedemikian sehingga kita lupa mengenai tanggungjawab kita untuk memperkukuhkan parti dalam maksud membuat persediaan sewajarnya menjelang pilihan raya itu.
Apa yang dikehendaki pucuk kepimpinan parti agar semua pemimpin UMNO mesti turun padang, mendekati rakyat mestilah diterjemahkan dan dibuktikan. Mungkin terdapat salah faham mengenai gesaan tersebut sehingga ramai yang melihat bahawa tanggungjawab untuk turun padang hanya terletak ke atas bahu pemimpin atasan sahaja.
Bagi saya, setiap daripada kita yang memegang jawatan dalam parti sehingga di peringkat cawangan juga adalah pemimpin. Maka tanggungjawab yang dipikul adalah sama.
Pun begitu, saya sangat berpuas hati dengan usaha dan pendekatan berterusan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri dalam memastikan program turun padang ini sentiasa dilaksanakan. Bagi kami, suara rakyat adalah satu keutamaan yang mesti diberikan perhatian dan pembelaan. Oleh kerana itu, saya sentiasa meminta dan bersama dengan pemimpin pemuda pun untuk sama-sama turun padang bertemu rakyat dan mendengar suara serta rintihan mereka.
UMNO adalah parti penyelesai masalah rakyat. Itulah yang sentiasa saya berikan perhatian dalam menggerakan setiap program kemasyarakatan di Terengganu. Alhamdulillah, saya percaya bahawa rakyat semakin melihat peranan serta sumbangan UMNO dalam membina nasib mereka.
Kejayaan UMNO untuk muncul sebagai satu-satunya parti yang sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh disangkal atau dinafikan oleh sesiapa pun. UMNO itu sentiasa adalah parti rakyat yang ditubuhkan demi rakyat dan tanahair tercinta.
Saya berharap, menjelang pilihan raya umum yang akan diadakan nanti, rakyat akan terus memilih UMNO/BN sebagai parti pilihan mereka. Saya sangat yakin, rakyat di negeri ini, di negara ini tidak akan mudah terpedaya atau diperbodohkan oleh pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan