Assalamualaikum.
Bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi isu-isu sensetif yang melibatkan agama dan bangsa kini bagaikan sudah menjadi trend dalam arena politik negara. Sebagai pemimpin muda, saya melihat senario ini secara serius betapa ia sebenarnya tidak sihat untuk masa depan politik dan kestabilan negara.
Hakikatnya, bukan mudah untuk mempertahankan keharmonian penduduk yang berbilang kaum di Malaysia. Namun saya hairan mengapa masih ada pihak yang tidak pernah belajar daripada sejarah, sehingga mereka tergamak bertindak melakukan provokasi dalam isu-isu yang bersifat perkauman.
Saya lebih cenderung untuk mengajak rakyat agar menilai semula pemimpin dan parti politik yang sengaja bermain dengan isu agama dan bangsa ini demi untuk mencapai cita-cita sempit mereka.
Kita tidak tahu di mana silap dan lemahnya sehingga perkara sedemikian kini semakin berleluasa. Selain isu kalimah Allah sebelum ini sehinggalah apa yang disebut percubaan pihak tertentu untuk menjadi Kristian sebagai agama rasmi di negara kita. Jika benar isu terbaharu, ia sudah tentu menjadi satu perkara yang sangat malang bagi kita semua.
Saya berpendapat, kerajaan mesti perlu lebih tegas bertindak dalam membendung gejala ini jika tidak mahu ia menjadi punca kepada masalah yang lebih besar. Tragedi 13 Mei adalah sejarah hitam yang harus kita ingat sebagai panduan agar isu-isu sensetif ini tidak dijadikan umpan untuk memancing sokongan politik.
Walaupun kita percaya bahawa rakyat kian bijak dalam menangani apa yang berlaku, jika kerajaan lewat bertindak, ia memungkin mendedahkan kita kepada mala petaka.
Sudah sampai masanya, kerajaan bertindak bagi mengekang perkara sedemikian. Tanpa memilih siapa mereka, jika mereka terbukti dan berasas untuk dikaitkan dengan gerakan yang boleh menyemarakkan api perkauman, tindakan mesti diambil.
Kita tidak boleh melihat isu-isu kaum dari perspektif politik semata-mata tetapi pada masa yang sama memiggirkan hal-hal lain. Saya faham, dalam keadaan sekarang, semua parti mahu menjadi juara kepada bangsa mereka. Bagaimanapun cubaan untuk mempertikaikan apa yang telah dipersetujui melalui kontrak sosial dalam Perlembagaan Persekutuan, ia adalah sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali.
Saya menyeru kepada rakyat, agar mereka tidak mudah terjebak. Marilah kita melihat isu-isu yang dimainkan pihak tertentu ini secara bertanggungjawab. Rakyat mesti menolak golongan pelampau, parti yang berfikiran sempit dan pemimpin yang meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat.
Kita mesti mempelihara keamanan dan kesejahteraan sedia ada. Kita yang bangga sebagai rakyat Malaysia harus membuktikannya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan