Assalamualaikum.
Saya sungguh tertarik dengan penyerahan memorandum sakongan PERKASA dan Pergerakan Pemuda UMNO kepada Utusan di ibu negara baru-baru ini. Walaupun bagi sesetengah orang walaupun isu tersebut tidaklah sebesar mana, namun ia tidak begitu bagi saya.
Sebagai seorang pembaca dan pelanggan tetap akhbar Melayu itu, saya sebenarnya sangat bangga dengan Utusan yang menjadi satu-satunya akhbar Melayu yang berani dalam melaporkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam.
Saya berpendangan, Utusan bukan hanya sebagai sebuah akhbar Melayu semata-mata, malah telah menjadi sebahagian daripada institusi Melayu itu sendiri yang peranannya telah terbukti melalui sejarah perjuangan Utusan termasuk ketika menuntut kemerdekaan. Demikianlah hebatnya Utusan dalam perjuangan Melayu di negara ini.
Saya pelik apabila ada sahaja pihak yang menunding jari kepada Utusan kononnya ia adalah akhbar rasis atau perkauman sedangkan perjuangan Utusan sejak dahulu sangatlah jelas dan tidak pernah berubah. Lebih pelik apabila ada akhbar yang baru sekarang bersikap rasis, tetapi tidak pula kedengaran tentangan dibuat ke atas akhbar berkenaan. Akhbar lain seolah-olah bebas dengan laporang mereka tetapi apabila akhbar Melayu yang menjadi tuan kepada tanah tumpah darahnya melaporkan mengenai isu-isu untuk mempertahankan Islam dan Melayu, ada pula yang melatah.
Saya sangat percaya, cubaan untuk menjahanamkan nama baik dan reputasi Utusan disebabkan kekhuatiran pihak tertentu terhadap pendedahan serta peranan Utusan sendiri dalam memberikan kesedaran kepada rakyat. Golongan itu mula nampak, Utusan tidak boleh dibiarkan dengan keadaan tersebut kerana ia sudah pasti mengancam kepentingan serta cita-cita mereka.
Hakikatnya, saya mempertahankan Utusan bukan kerana saya Ketua Pemuda UMNO Terengganu, malah ketika saya di bangku sekolah pun, Utusan telah menjadi sebahagian daripada bacan bacaan saya. Utusan adalah suara rakyat dan menjadi akhbar yang sangat berani sebenarnya. Jujurnya, Utusan juga akan mendedahkan, menegur dan membelasah pemimpin UMNO yang terlibat dengan isu-isu yang merugikan Melayu. Di sini hebatnya Utusan berbanding akhbar-akhbar lain.
Apa yang penting bagi saya, rakyat perlu menyokong Utusan sebagai sebuah akhbar yang berteraskan kepada institusi Melayu. Sokongan itu pula tidak seharusnya kekal hanya menyampaikan memorandum semata-mata kerana saya berpandangan, sokongan mestilah dizahirkan melalui pembelian atau langganan akhbar ini.
Selain secara individu, orang kaya Melayu perlu menyokong usaha Utusan melalui tajaan dan sebagainya bagi membolehkan akhbar ini dilihat benar-benar disokong dan dipertahankan.
Saya menyeru seluruh ahli UMNO, khususnya Pergerakan Pemuda agar membeli dan membaca Utusan atau melanggannya. Kaedah itu sebenarnya jauh lebih berkesan dalam menyatakan sokongan kepada Utusan.
Saya bukanlah juru kempen Utusan tetapi saya melihat Utusan sebagai sebuah institusi Melayu yang wajib dipertahankan demi masa depan bangsa kita di tanahair bertuah ini.
Hidup Utusan!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan