Selasa, 24 Mei 2011

TIDAK MAHU BUBAR DUN: PAKATAN TAKUT BAYANG-BAYANG

 Assalamualaikum.

 Tiba-tiba Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng mengumumkan parti itu mengambil pendirian bahawa semua negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor  tidak akan membubarkan DUN masing-masing jika Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen. Ia sekaligus berbeza dengan amalan tradisi sebelum ini dimana semua DUN dibubarkan sebaik Parlimen dibubarkan.

 Walaupun saya sendiri tidak terkejut dengan kenyataan serta pendirian tersebut, namun ia agak menarik untuk diulas sebagai bahan berfikir untuk kita semua. Tidak sukar untuk memahami sifir politik pembangkang ini apabila mereka mengambil pendekatan atau keputusan sedemikian.

 Pertama, jika bukan kerana takut atau tidak yakin akan mempertahankan kekuasaan di negeri berkenaan, mereka pasti tidak akan memutuskan sedemikian. Sudah tentu mereka mulai faham betapa sekarang rakyat semakin sedar dengan permainan politik murahan yang diamalkan kerajaan pembangkang. Malah, saya percaya bahawa mereka sedar ketidakupayaan untuk menunaikan segala janji yang ditaburkan pada Pilihan Raya Umum lalu telah menjadi antara penyebab utama mengapa mereka itu takut.

 Kedua, jika diambil dari sudut iklim politik semasa, dengan isu-isu yang berlaku sekarang, sudah tentu kita melihat ia banyak memihak kepada pembangkang. Bagaimanapun mereka masih tidak berani membubarkan DUN?. Mengapa?. Percayalah bahawa mereka melakukan sedemikian kerana mereka juga melakuakn kaji selidik mengenai sikap atau pendirian politik mereka. Dan, apabila mereka memutuskan untuk tidak membubarkan DUN, ia sudah tentu bersebab.

 Ketiga, ia hanyalah satu strategi untuk memerangkap BN. Ia dilihat sebagai usaha mencetuskan provokasi terhadap BN agar lebih berhati-hati dan tidak mudah diadakan pilihan raya. Apa yang saya maksudkan, walaupun banyak perkara dilihat makin memihak kepada pembangkang, hakikatnya mereka masih belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Percayalah.

 Apa pun, sebagai rakyat yang bijak, anda nilailah sendiri pendirian pembangkang yang selama ini bermati-matian kononnya memperjuangkan kebebasan dan demokrasi. Inilah watak yang cuba ditunjukkan kepada rakyat betapa mereka sebenarnya masih belum puas dengan kuasa yang mereka ada di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

 Lihat, apa yang diputuskan tidak sama dengan mood yang mereka canangkan kepada rakyat seolah-olah pilihan raya akan diadakan di esok hari. Rakyat tidak usah terperangkap atau terpedaya dengan mereka. Saya percaya, semua ini adalah permainan politik pembangkang semata-mata. Tidak lebih dari itu.

 BN adalah parti yang mendokong sistem demokrasi  dan BN adalah parti yang mempercayai keluluhan perlembagaan dan kerana itu, setiap perkara yang dilaksanakan mestilah berteraskan kepada perkara tersebut walaupun ia tidak digemari atau tidak disukai oleh sesetengah pihak.

 Saya berharap, rakyat akan lebih bijak menilai mengenai perkara tersebut. Ingatlah, menukar sesebuah kerajaan bukan semudah kita menukar pakaian. Berhati-hatilah, buatlah keputusan yang bijak dengan terus bersama BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan