Assalamualaikum.
Apa khabar anda semua hari ini. Semoga kita semua akan sama-sama meneruskan perjuangan membangunkan negeri, negara dan memperkasakan kepentingan rakyat, manakala setiap kemungkaran pembangkang perlu kita perangi.
Hari ini, saya ingin mencatatkan sesuatu mengenai kunjungan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Terengganu Sabtu ini (30 April). Sudah tentu, jika ditanya sesiapa pun, kunjungan ini dianggap menarik dan penting, apatah lagi dengan gambaran politik yang pelbagai diberikan ke atas Terengganu, sama ada ooleh orang Terengganu sendiri atau pun yang tinggal di luar Terengganu.
Tidak perlulah saya mencatatkan sejarah politik Terengganu, namun apa yang pasti kunjung Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan memberi momentum baharu kepada UMNO, BN dan rakyat Terengganu keseluruhannya - ia sekaligus menjadikan angan-angan pembangkang untuk melihat perpecahan UMNO di negeri ini tidak menjadi kenyataan.
Pembangkang silap kerana telah membuat sangkaan dari luar kononnya UMNO Terengganu lemah dengan mengambil kira plot politik yang berlaku sebelum ini. Apa pun, kehadiran Datuk Seri Mohd Najib nantinya akan memberikan gambaran yang jelas kepada rakyat betapa sebenarnya UMNO masih kuat dan utuh, masih berada dengan kuat di hati rakyat.
Saya fikir, Perdana Menteri akan melihat sendiri sokongan dan dokongan rakyat Terengganu terhadap UMNO selama ini bahawa mereka masih bersatu, masih kuat dan mahu melihat BN/UMNO terus menguasai bumi Terengganu.
Rata-rata bagi pihak rakyat, mereka sudah tidak sabar-sabar menerima kunjungan Perdana Menteri kesayangan mereka. Datuk Seri Najib pasti akan mengembalikan nostalgia kegemilangan Allahyarhjam bapanya, Tun Abdul Razak Hussin yang semasa hayatnya pernah turun padang dan berkunjung ke Kuala Nerus yang turut menjadi tempat lawatan Datuk Seri Najib.
Rakyat Terengganu tahu, Datuk Seri Najib adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat, yang memahamo denyut nadi rakyat dan menjadi seorang pemimpin yang sentiasa turun padang. Itulah kelebihan Perdana Menteri kita.
Justeru, kunjungan beliau ke Terengganu akan disambut dengan meriah oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai latar belakang politik. Saya melihat, lawatan ini akan menambahkan lagi kekuatan BN dan UMNO di Terengganu. Amanat Datuk Seri Najib nanti sudah tentu akan menjurus kepada hal tersebut dan masa depan Terengganu itu sendiri.
Percayalah, Terengganu akan terus kekal sebagai benteng UMNO/BN dan sejarah sebenarnya telah membuktikan akan hal tersebut.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan