Jumaat, 22 April 2011

MEMPERKASAKAN SOKONGAN ORANG MUDA

 

Assalamualaikum dan salam perjuangan.

Demam pilihan raya kian terasa. Di mana-mana pun orang bercakap mengenainya. Walaupun tarikh sebenar PRU itu hanya ada di tangan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, namun selalunya ada tanda-tanda apabila ia akan berlaku.

Kerana mempercayai bahawa wujudnya tanda-tanda PRU akan diadakan lebih awal, maka berlakulah apa yang kita lihat hari ini. Senarionya seolah-olah PRU akan diadakan esok hari. Memang, dari satu sudut, ia sangat bagus untuk sesebuah parti politik - sekurang-kurangnya mereka melakukan persediaan yang terbaik untuk memenangi sesuatu pilihan raya. Bagaimanapun, negatifnya apabila senario itu telah menyebabkan kita kehabisan banyak masa untuk politik dan berpolitik sedangkan ia lebih wajar digunakan untuk hal-hal lain demi masa depan negara dan kita semua.

Ketepikan soal itu sementara. Saya ingin melontarkan betapa sebenarnya peranan masyarakat pemuda dalam parti sangat penting dalam PRU ke-13 nanti. Menyedari hakikat itulah, Pemuda UMNO khususnya di Terengganu telah pun bergerak mengikut kaedah dan strategi yang dirancang. Saya percaya, walaupun dilihat sukar, namun usaha mendekati golongan muda ini tidaklah sesulit mana.

 Bagi Pemuda UMNO Terengganu, kita sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU, sama ada ia mempunyai tanda-tanda akan ada lebih dekat atau sebaliknya. Sebabnya, politik UMNO berbeza sama sekali dengan pembangkang. Kita adalah parti yang berteraskan kepada menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. UMNO bukan sebuah parti yang retorik yang bercakap atau berjuang dengan bermodalkan air liur. Kita bercakap berasaskan kepada kemampuan dan keupayaan.

 Ada pun pembangkang pula, politik mereka hanyalah untuk mencari salah UMNO/BN tanpa memberi fokus kepada usaha membantu rakyat dan memajukan negeri atau negara. Itulah yang membezakan UMNo dan pembangkang.

 Apa yang saya maksudkan, usaha membantu rakyat, mendekati golongan muda dengan kaedah tertentu sentiasa diadakan tanpa ragu. Kita mementingkan rakyat melalui politik kita.

 Oleh itu, Pemuda UMNO Terengganu akan terus bergerak dengan lebih gigih, kita akan menyusun strategi yang lebih mampan untuk memantapkan jentera kita. Hari ini, sudah ada petanda perubahan di kalangan generasi muda untuk mendekati UMNO.

 Saya amat optimis bahawa anak-anak muda sememangnya lebih selesa dengan UMNO berbanding pembangkang. Ini dapat dilihat melalui aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan. Mereka adalah kelebihan untuk kita dan kerana itu, perjuangan untuk mendekati mereka tidak akan pernah ada nokhtahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan