Ahad, 17 April 2011

PRN SARAWAK: SATU MOMENTUM KEPADA POLITIK MALAYSIA.

 Assalamualaikum.

 Tahniah diucapan kepada Barisan Nasional (BN) Sarawak atas kemenangannya pada PRN yang diumumkan semalam. Walaupun BN hilang 6 kerusi berbanding yang dimenanginya pada PRN 2006,  namun kejayaannya membentuk kerajaan dalam iklim politik yang dianggap tidak menentu, tetap menjadi satu kelebihan.

 Rata-rata, perang psikologi yang dimainkan pembangkang menggambarkan seolah-olah akan berlaku tsunami politik di Sarawak, namun keputusan yang diumumkan semalam telah menjawab segala-galanya. Ironinya, BN kalah di kawasan pengundi Cina. Jelas sekali, pengundi Cina tidak memihak kepada BN dan kita semua sudah sedia maklum akan sebab musababnya.

 Biarlah, walaupun kita sedikit terkilan, namun itu yang mereka pilih, maka kita harus menghormatinya. Sebagai seorang pemimpin parti Melayu UMNO, saya melihat dengan jelas apa yang dilakukan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO untuk pengundi Cina. Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, mereka memilih untuk tidak memihak kepada BN.

 Apa pun, di banyak kawasan, majoriti undi BN terus melonjak dengan sangat meyakinkan. Itulah kebanggaan saya.

 Jika ditanta saya, saya berpandangan PRN Sarawak telah sangat menguji BN - seperti apa yang telah saya catatkan sebelum ini. Ada isu-isu yang jika tidak diurus dengan baik, ia akan menggugat BN di Sarawak. Hakikatnya, satu kajian secara terperinci harus dilakukan bagi mengetahui mengenai kekalahan BN di kawasan tertentu. Hasil kajian itu pula mestilah dilaksanakan oleh pemimpin BN negeri bagi memastikan rakyat kembali memberikan sokongan padu kepada BN.

 Saya lebih cenderung untuk melihat, kejayaan di Sarawak dapat memberikan momentum kepada politik di Semenanjung. Ertinya, politik Sarawak yang terkenal dengan sentimen kegenerian atau cara berpolitik yang berbeza dengan sememanjung tidak boleh dilihat begitu lagi. Ternyata, landskap politik Sarawak mampu memberikan impak kepada politik di Semenjung.

 Inilah yang harus difahami oleh jentera parti dan ahli parti. Mengapa pentingnya BN menang selesa di Sarawak tatkala BN diserang dari segenap sudut oleh pembangkang. Pembangkang berada pada posisi sanggu melakukan apa sahaja demi menjatuhkan BN, sedangkan di pihak BN, kita ada cara tersendiri dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.

 Saya melihat dalam satu bayangan betapa politik Sarawak akan segera berubah. Berubah bukan sahaja dalam konteks pembangunan negeri, tetapi juga dalam prospek lain untuk faedah rakyat di negeri itu.

 Apa pun, BN harus melihat atau meneliti dengan serius mengenai isu-isu yang dibangkitkan di Sarawak. Keberanian BN mengubah dan berubah, ia akan menjamin nilai moral politik yang impaknya sangat besar dalam memastikan BN terus menjadi peneraju kerajaan negeri Sarawak pada masa akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan